Halaman

Selasa, 7 November 2017

Kos bayaran haji dikekalkan

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Kos bayaran menunaikan haji dikekalkan kepada RM9,980 bagi musim haji tahun 2018 walaupun kos sebenarnya telah meningkat sebanyak 15 peratus kepada RM22,450 daripada RM19,550 pada musim haji tahun 2017. 
 
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Seri Johan Abdullah berkata, pengekalan bayaran tersebut telah dilaksanakan sejak tahun 2009 adalah atas inisiatif kerajaan yang amat prihatin terhadap rakyat untuk menunaikan rukun Islam yang ke lima itu.
 
Peningkatan kos itu akan membuatkan Tabung Haji menanggung subsidi haji yang lebih tinggi bagi seorang jemaah haji muassasah kali pertama sebanyak RM12,470 bagi tahun 2018 berbanding sebelumnya, RM9,576.
 
Katanya, Tabung Haji dijangka menanggung subsidi haji hampir RM400 juta dan menganggap tanggungan itu sebagai tanggungjawab sosial korporat terbesar lembaga itu bagi mendukung aspirasi kerajaan untuk mengimbangi keunggulan duniawi dan ukhrawi.
 
“Menjadi hasrat kerajaan agar lebih ramai umat Islam di negara ini dapat menunaikan ibadah haji dengan kos yang tidak membebankan.
 
“Subsidi haji yang akan diberikan kepada seorang jemaah haji muassasah kali pertama ialah sebanyak RM12,470 iaitu 56 peratus daripada kos haji, manakala jemaah haji hanya perlu membayar sebanyak RM9,980 iaitu 44 peratus daripada kos haji,”katanya dalam satu kenyataan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.