KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi meminta
semua pihak beri peluang kepada Jabatan Peguam Negara menyiasat kes
video dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad.
Ahmad Zahid juga meminta agar mereka berlapang dada dan menghentikan
sebarang perbuatan pembunuhan karakter terhadap Dzulkifli dan memberinya
peluang untuk menjalankan tugasnya.
Beliau yang juga menteri dalam negeri berkata, video viral di internet
dan media sosial itu masih disiasat dan belum pasti kesahihannya.
Ahmad Zahid menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh
Deo sama ada siasatan akan dilakukan terhadap Dzulkifli susulan
penularan video itu, ketika menggulung perbahasan Bajet 2018 bagi
Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat hari ini.
Sin Chew Daily sebelum ini pernah melaporkan, ada individu membuat
laporan polis selepas menonton satu klip video di YouTube membabitkan
pegawai kanan SPRM dengan seorang wanita berstatus isteri orang.
Pengadu mendakwa hubungan sulit itu menyebabkan rumah tangga wanita
yang mempunyai dua anak itu musnah dan bercerai dengan suaminya pada 28
September lalu.
Susulan itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata,
satu siasatan menyeluruh telah dilakukan mengikut Seksyen 498 Kanun
Keseksaan.
Seksyen 498 Kanun Keseksaan menyebut adalah satu kesalahan “memikat
atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan
tujuan untuk mengadakan hubungan seks.”
Pesalah boleh dipenjara sehingga dua tahun, dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.