SHAH ALAM: Sepuluh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan di
Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, hari berhubung doa dibacakan seorang
pemimpin PAS Selangor dalam satu program parti itu di sini, Sabtu lalu.
Antara NGO berkenaan ialah Kelab Prihatin Ummah, Pertubuhan Kebajikan
Ihsan Ummah Selangor, Persatuan Masyarakat Penyayang Selangor, Persatuan
Generasi Peduli dan Persatuan Harapan Selangor.
Wakil gabungan NGO berkenaan, Ishak Harun, berkata doa yang dibacakan
dalam program itu dilihat menyentuh beberapa perkara yang boleh
mendatangkan fitnah dan gambaran salah terhadap agama Islam, institusi
Diraja dan agensi agama Islam di negeri ini.
Beliau Pengerusi Kelab Prihatin Ummah Selangor, berkata program itu
disiarkan secara langsung melalui Facebook PAS Selangor dan tersebar
secara meluas di laman sosial lain.
"Kandungan doa seolah-olah memberi gambaran salah terhadap Sultan
Selangor selaku Ketua Agama Islam serta agensi berkaitan termasuk Majlis
Agama Islam Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor, yang mana dua
jabatan itu telah dipertanggungjawabkan dalam hal berkaitan agama Islam
di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis.
Ishak berkata doa itu juga dilihat boleh mewujudkan tanggapan negatif
masyarakat bukan Islam selain mendorong perselisihan faham antara orang
Islam di negeri ini.
Sabtu lalu, PAS Selangor menganjurkan program solat hajat, munajat dan
ceramah yang mana turut dihadiri kepimpinan tertinggi parti itu.
Susulan itu, media melaporkan kandungan doa selepas solat hajat itu
yang seolah-olah ditujukan khusus terhadap gabungan Pakatan Harapan dan
Barisan Nasional (BN) yang bakal berdepan dengan parti itu pada pilihan
raya umum akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.