Halaman

Rabu, 21 Mac 2018

Hadi 'sokong' GST, kenapa manifesto PAS mahu mansuh, soal Dr Mahathir

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Manifesto PAS mahu hapuskan GST tetapi mengapa presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak pernah mengkritik pelaksanaan cukai itu?, soal Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
"Manifesto PAS mahu hapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), namun Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak pernah sentuh soal cukai itu sebelum ini.
 
"PAS sokong penuh GST. Bila ditanya Hadi adakah PAS sokong atau tidak, Hadi cakap berkenaan kesan pemerintahan yang lama, itulah yang dia (Hadi) burukkan. 
 
"Tidak sebut langsung pasal GST. Saya tidak tahu sama ada dia faham atau pun tidak soalan atau dia taktahu jawab," ujarnya dalam sidang media Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) di Parlimen, hari ini.
 
Dr Mahathir berkata demikian mengulas manifesto PAS yang diumumkan parti itu pada Ahad lepas.
 
Menerusi manifesto itu, PAS turut menawarkan untuk memansuhkan GST atau cukai barangan dan perkhidmatan jika menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan akan digantikan dengan cukai lain.
 
Bagaimanapun, PAS belum memperincikan perkara itu dengan lebih lanjut.
 
PAS menerusi Gagasan Sejahtera (GAGASAN) menawarkan manifesto bertemakan 'Malaysia Sejahtera' yang mana merangkumi sembilan teras dengan 20 tawaran utama dan khas.
 
Selain GST, PAS juga menawarkan melupuskan hutang peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi meringankan bebanan golongan muda sebagai inisiatif permulaan ke arah pelaksanaan pendidikan percuma.
 
Antara lain adalah menjalankan pengstrukturan semula kadar bayaran tol untuk mengurangkan kos hidup rakyat menerusi semakan semula perjanjian konsesi tol yang melebihi 15 tahun selain memberikan bantuan makanan asasi kepada golongan fakir dan miskin secara bulanan. 
 
Dr Mahathir juga mengulas hasrat PAS mahu menjadi 'king-maker' pada pilihan raya kali ini.
 
"Dia mmg nak jadi 'king-maker', yang sebenarnya dia bukan 'king-maker' nak tolong parti lawan. Cuma 'king-maker' nak angkat 'cash is king'. Itu lah tujuan dia. Nak masuk, nak pecah undi lawan supaya BN akan menang," ujarnya. 
 
Hadi ketika menyampaikan ceramah sempena 10 tahun PAS di bawah pentadbiran negeri Selangor sekali lagi menegaskan, PAS boleh menjadi 'penentu' kepada kerajaan walaupun dengan kemenangan majoriti mudah.
 
Malah, beliau yakin dengan ‘simple majoriti’ itu PAS boleh memilih sama ada untuk bekerjasama dengan BN atau pun PH, sekiranya berjaya membentuk kerajaan pada PRU14 akan datang.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.