Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: PAS sepatutnya tidak perlu bersusah-payah membuat manifesto
memandangkan parti itu tidak berminat untuk menang pilihan raya, kata
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad.
Pemimpin PAS sebelum ini pernah berkata partinya menyertai pilihan raya
bukan untuk menang semata-mata namun lebih daripada itu, mereka mahu
menyebarkan dakwah kepada masyarakat.
"Saya tidak tahu kenapa mereka (PAS) sibuk mahu buat manifesto
sedangkan mereka sendiri pun tidak sibuk mahu tubuhkan kerajaan,"
katanya ringkas ketika dihubungi Antarapos.
Khalid bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut berhubung manifesto parti yang pernah dianutinya itu.
PAS menerusi Gagasan Sejahtera (GAGASAN) semalam mengumumkan
melancarkan manifesto mereka dalam satu dalam Majlis Syarahan Perdana
yang diadakan di Astana Banquet Hall, Cyberjaya.
Antara 20 tawaran utama dalam manifesto PAS adalah menghapuskan Cukai
Barang dan Perkhidmatan (GST) dan menggantikannya dengan sistem
percukaian yang lebih adil seperti Cukai Atas Simpanan Korporat dan
Cukai Saham di Bursa Saham Malaysia.
Selain itu, PAS berhasrat melupuskan hutang peminjam PTPTN sedia ada
dan memberikan bantuan makanan asasi kepada golongan fakir dan miskin
secara bulanan.
GAGASAN juga menjanjikan untuk melaksanakan penstrukturan semula kadar
bayaran tol untuk mengurangkan kos hidup rakyat menerusi semakan semula
perjanjian konsesi tol yang melebihi 15 tahun.
Manifesto berkenaan juga terkandung perkara memperkasakan peruntukan
Islam sebagai agama persekutuan dengan melaksanakan tuntutan Islam
sebagai Al Din, selain menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.