Oleh Umi Faten Nadia Ezhar
SHAH ALAM: Manifesto PAS mampu dilaksana berikutan ia realistik dan
tidak menjanjikan bulan, bintang serta berpijak di alam yang nyata, kata
penganalisis politik, Dr Kamarulzaman Yusoff.
Pun begitu, Kamarul berkata beliau masih menunggu perincian lebih
lanjut mengenai bagaimana janji-janji itu akan dilaksana contohnya
penghapusan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), pelupusan hutang
PTPTN dan sebagainya.
"Mestilah ada cara untuk melaksanakannya cuma belum ada penjelasan yang
terperinci. Jadi, nak kena tengok juga. Cuma, tidak terlalu melangit
dan masih berpijak di alam nyata.
"Mekanisma pelaksanaan macam mana nak buat, macam mana dana dapat, itu
belum diperincikan lagi. Daripada peringkat awal, dia (manifesto) sangat
menarik dan boleh dipuji," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Gagasan Sejahtera (Gagasan) malam tadi mengumumkan manifesto Pilihan
Raya Umum ke-14 (PRU14), yang merangkumi sembilan Teras, Tawaran Utama
dan Tawaran Khas dan bertemakan "Malaysia Sejahtera" telah dilancarkan
oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam Majlis Syarahan
Perdana di Astana Banquet Hall, Cyberjaya.
Menariknya PAS menawarkan untuk menghapuskan cukai barangan dan
perkhidmatan (GST) dan menggantikannya dengan sistem percukaian yang
lebih adil.
PAS juga berjanji untuk melupuskan hutang peminjam PTPTN atau
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional bagi meringankan bebanan
golongan muda sebagai inisiatif permulaan ke arah pelaksanaan pendidikan
percuma.
"Sepintas lalu nampak macam ok. PAS memberikan pilihan yang bagus
kepada rakyat untuk membuat pilihan. Cuma, kita kena tahu lebih details
cara macam nak buat penghapusan sebab itu belum dijelaskan.
"Jadi, saya tak boleh nak komen banyak. Cuma nampak dari segi
pengembalian kuota itu bagus sebab selaras dengan hasrat parti itu untuk
lebih menarik undi orang-orang Melayu Islam.
"Satu lagi, ia mahu memperkasakan cara hidup Islam. Jadi, saya secara
umumnya ia adalah satu manifesto yang kelihatan mampu untuk menarik
perhatian rakyat khususnya golongan rendah, golongan Melayu, yang nampak
macam berbeza daripada manifesto Pakatan Harapan," katanya.
Tawaran Manifesto PAS itu juga dilihat agak meluas dan hampir menyentuh
semua aspek termasuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), mahasiswa,
fakir miskin dan sebagainya.
"(Manifesto PAS) memang akan mampu menarik perhatian pengundi khususnya golongan bawahan yang menjadi sasaran sokongan PAS.
"Sebab, tawaran yang agak meluas, golongan OKU pun ada, mahasiswa pun
ada, sistem kuota, IPTA kemudian boleh dikatakan pelancaran penggunaan
tanah untuk golongan muda, kemudian yang PTPTN, golongan fakir dan
miskin," kata Kamarul lagi.
Terdahulu Pakatan Harapan (PH) mengumumkan manifesto menjanjikan 10
perkara, terutama meringankan beban rakyat dalam masa 100 hari pertama
pentadbiran jika berjaya membentuk kerajaan di Putrajaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.