Halaman

Selasa, 20 Mac 2018

PAS Selangor 'mengadu pada Allah dan Sultan' tidak pada saya - Azmin Ali

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memperlekeh ADUN PAS negeri itu apabila berkata mereka 'mengadu pada Allah dan Sultan' namun tidak kepadanya berhubung isu dana.
 
"Dia (PAS Selangor) mengadu pada Allah (solat hajat), mengadu kepada Sultan Selangor, tetapi dia tak mengadu dengan saya," katanya kepada pemberita, pada Isnin.
 
Azmin bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa beliau enggan berjumpa ADUN PAS Selangor meskipun mereka sudah menghantar mesej memaklumkan mahu berjumpa dengannya bersabit isu itu.
 
Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi sebelum ini memberitahu pihaknya sudah memulakan langkah untuk berjumpa dengan Azmin, namun permohonan mereka tidak dilayan.
 
PAS Selangor kemudiannya memberikan tempoh sehingga sambutan Tahun Baru Cina, namun ia berlalu begitu sahaja.
 
Menurut Sallehen, pihaknya diberitahu dana itu sudah disampai ke tangan Pejabat Daerah masing-masing namun tiada arahan bertulis yang membolehkan ADUN PAS mendapatkan wang tersebut.
 
Natijahnya, 13 ADUN PAS terpaksa menggunakan wang peribadi untuk menjalankan program-program mesra rakyat di kawasan masing-masing.
 
Angka keseluruhan wang peribadi ADUN PAS yang didahulukan kini melebihi RM700,000, ujar Sallehen.
 
Malah Sallehen berkata pihaknya terpaksa menulis surat kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memaklumkan kemelut itu.
 
PAS Selangor juga kini dalam proses menyediakan dokumen-dokumen berkaitan untuk memulakan langkah seterusnya iaitu meminta Jabatan Audit Negeri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan kemungkinan wujud unsur salah guna kuasa dalam kerajaan negeri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.