KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid
Hamidi berbesar hati untuk bersara lebih awal daripada dunia politik,
berbanding bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang masih
mahu bertanding pilihan raya walaupun sudah berusia 93 tahun.
Ahmad Zahid yang berusia 65 tahun berkata, dalam jangka masa panjang
beliau sedia memberikan peluang kepada golongan muda untuk menerajui
kepemimpinan negara termasuk di kawasan Parlimennya, Bagan Datuk, Perak.
"Saya tidak mahu bertanding lagi sehingga berusia 93 tahun.
Cukup-cukuplah, beri peluang kepada anak-anak muda termasuk di Bagan
Datuk sendiri.
"Saya tidak mahu menongkat langit," katanya pada majlis Aspirasi
Transformasi Nasional (TN50) @Bagan Datuk yang diadakan di Tapak Ekspo
Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Serdang dekat sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang merupakan Naib Presiden Umno menjalankan tugas-tugas
Timbalan Presiden Umno berkata, berbekalkan keringat yang masih ada
beliau akan terus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada negara
dan kawasan Bagan Datuk sekali pun sesuatu nikmat pembangunan itu hanya
dirasai pada tahun 2050.
Sebelum ini, Dr Mahathir beberapa kali mengesahkan dirinya akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.
Beliau dikatakan akan bertanding sama ada di Langkawi, Kubang Pasu ataupun Putrajaya.
Untuk rekod, Dr Mahathir pernah memegang kerusi Kubang Pasu selama tujuh penggal.
Malah bukan itu sahaja, beliau juga dipilih Pakatan Harapan (PH)
sebagai calon perdana menteri sementara jika pembangkang berjaya
menakluk Putrajaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.