PRU14 | Tindakan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tepat, itulah reaksi bekas naib ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kota Bharu, Mohd Nor Hashim Che Min susulan arahan pembubaran sementara parti itu semalam.
Katanya, ia susulan sikap kepimpinanan tinggi BERSATU yang didakwanya lebih mengejar hal-hal lain berbanding kepentingan parti.
"Tindakan saya dan rakan-rakan keluar parti sangat tepat dan tidak sia-sia sebelum masalah ini berlaku memandangkan kepemimpinan tinggi BERSATU tidak cekap.
"Masalah ini berlaku adalah salah mereka sendiri kerana tidak cekap walaupun sudah beberapa kali diberi peluang oleh ROS.
"Macam mana nak siapkan dokumen sedangkan cawangan tidak pernah wujud untuk mengadakan mesyuarat kerana kekurangan ahli yang memerlukan sekurang-kurangnya 50 orang," katanya ketika dihubungi, di Kota Bharu, semalam.
Tambahnya Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai bekas perdana menteri selama 22 tahun, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai bekas timbalan perdana menteri dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga pernah menjawat jawatan penting sepatutnya lebih arif mengenai perkara itu.
ROS semalam mengeluarkan perintah pembubaran sementara ke atas BERSATU berdasarkan notis mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966.
Ketua pengarahnya, Surayati Ibrahim berkata, perintah itu memperuntukkan BERSATU diberi tempoh selama 30 hari untuk menghantar semua dokumen yang diperlukan ROS dan jika ada rayuan dan ditolak, parti itu akan dibatalkan pendaftarannya.
Sementara itu, bekas ketua Srikandi BERSATU Kota Bharu, Normala Abdul Kadir, berkata parti terbabit memang wajar dibubarkan selepas gagal mengikut prosedur yang ditetapkan ROS.
Menurutnya, BERSATU boleh dianggap sebagai "parti koboi" selepas gagal menyediakan dokumen yang ditetapkan.
"Memang sepatutnya kena bubar sebab tak mengikuti prosedur yang ROS minta. Salah satunya ialah minit-minit mesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian serta laporan kewangan.
"Kita dah nampak perkara ini daripada awal. Parti tak ada hala tuju, celaru dan tidak cekap dalam bidang urus tadbir," jelasnya yang kini memilih untuk bersama parti PAS.
Tambah Normala, mereka juga bosan dengan kepimpinan BERSATU yang didakwa gagal menyediakan peruntukan kewangan.
"Selepas BERSATU ditubuhkan, pemimpin nombor satu parti itu tidak mengeluarkan wang walaupun beliau kaya.
"Tetapi mereka suruh ahli cari wang untuk mengadakan program. Sebab itu ramai ahli keluar parti kerana tak mampu buat kerja dengan dengan poket kosong," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.