Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim
PETALING JAYA: Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa
Pendaftar Pertubuhan (RoS) menyalahgunakan kuasa dan cuba mensabotaj
proses demokrasi dalam negara apabila mengeluarkan arahan untuk parti
itu dibubarkan sementara.
Malah beliau turut mempertikaikan mengapa pihaknya tidak dimaklumkan
terlebih dahulu sebelum RoS mengumumkan perkara itu dalam sidang
medianya di Putrajaya, semalam.
Menurut Dr Mahathir, RoS gagal menghantar notis itu kepada PPBM berikutan alamat yang digunakan adalah salah.
"Tindakan RoS ini adalah satu perbuatan penyalahgunaan kuasa.
Sepatutnya RoS bersifat neutral dan bukan cuba mensabotaj proses
demokrasi dan PRU14 dengan mengikut telunjuk Umno.
"Notis ini tidak dihantar kepada pihak yang sepatutnya dan jika
mengikut undang-undang, notis berkaitan perlu diserahkan 'by hand'
kepada orang yang sepatutnya dan bukan kepada orang lain.
"RoS menyatakan alamat rasmi PPBM di Damansara tetapi pegawai RoS
menghantar notis ke sini (Galeri PPBM) dan tidak menyerahkan notis
kepada pihak sepatutnya," jelasnya.
RoS pada Khamis mengeluarkan perintah pembubaran sementara ke atas PPBM
berdasarkan notis mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966.
Surayati berkata PPBM diberi 30 hari untuk membuat rayuan terhadap
keputusan itu namun perlu mengemukakan semua dokumen-dokumen yang
diminta RoS.
Jika gagal berbuat demikian, PPBM akan secara automatik terbubar.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir mendakwa RoS menggunakan bahasa yang mengelirukan dalam notis berkenaan.
"Ayat yang digunakan oleh RoS amat melucukan sehingga kami sukar memahaminya.
"Surat tersebut juga menyebut istilah yang saya tidak pasti sama ada
bubar atau batal, jadi kami pasti parti ini akan berfungsi seperti biasa
sehingga RoS batalkan parti ini secara rasmi," katanya.
Dr Mahathir kemudiannya berkata pihaknya sudah bersedia untuk partinya
dikenakan tindakan oleh RoS, justeru PPBM bersetuju untuk bertanding di
bawah logo satu daripada tiga parti komponen Pakatan Harapan (PH).
Pengumuman mengenai logo manakah yang akan digunapakai PPBM pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dikatakan akan diumumkan Dr Mahathir
hari ini (Jumaat) di Johor.
"Itu pilihan kita, kita akan umumkan pada malam esok di Pasir Gudang, Johor.
"Itu embargo kita," ujarnya.
Sidang akhbar PPBM itu juga dihadiri Timbalan Presiden PPBM Tan Sri
Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan Majlis Pimpinan
Tertinggi PPBM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.