KUALA LUMPUR:
“Hari ini bilangan umat Islam adalah sebanyak 63 peratus daripada
jumlah keseluruhan rakyat di Malaysia. Saban hari, kita dapat lihat
kedudukan umat Islam semakin terhakis,” kata Timbalan Ketua Sekretariat
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Kamaruzzaman Mohamad.
Kata beliau, ia berlaku kerana umat
Islam yang sepatutnya menjadi kuasa penting di Malaysia kian hilang dan
diambil alih oleh bangsa lain dari semasa ke semasa.
Malah, katanya perpecahan umat Islam yang berlaku pada hari ini telah menyebabkan kekuatan umat Islam itu menjadi lemah.
Maka, tegasnya lebih 300 NGO mengambil
keputusan untuk mewujudkan suatu wadah penting untuk menggabungkan
seluruh kekuatan umat Islam di bumi Malaysia dengan menubuhkan UMMAH
pada Mei 2017.
Beliau berkata demikian dalam Sidang
Meja Bulat NGO Islam Bentong yang berlangsung di Dewan Masjid Sultan
Haji Ahmad Shah, Bentong malam tadi.
Kamaruzzaman turut menyentuh mengenai isu kemasukan pelajar ke universiti.
Sebelum ini, katanya kemasukan pelajar
ke universiti adalah mengikut sistem kuota iaitu bergantung kepada
jumlah orang Melayu Islam, Cina dan India berdasarkan nisbah jumlah
penduduk.
Malangnya, kata beliau sistem itu sudah
dihapuskan pada zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir (bekas Perdana
Menteri) dan sistem meritokrasi telah diperkenalkan.
“Sistem meritokrasi ialah sistem
kemasukan ke universiti yang berasaskan kepada pencapaian dalam
peperiksaan dan tidak adil untuk rakyat,” ujar beliau.
Hal ini, katanya adalah kerana orang
Melayu Bumiputera lebih ramai tinggal di kawasan pedalaman berbanding
dengan orang Cina dan sebahagian orang India yang tinggal di bandar dan
pinggir bandar.
Maka, ujarnya golongan penduduk di
bandar dan pinggir bandar adalah majoriti kalangan orang bukan Islam dan
mereka lebih layak dan lebih ramai memasuki ke universiti kerana
keputusan peperiksaan mereka lebih baik.
"Kemudahan dan kualiti guru yang mereka
terima adalah jauh lebih baik berbanding golongan miskin yang tinggal di
luar bandar," katanya.
Hasilnya, kata Kamaruzzaman, hari ini
kemasukan golongan Melayu Bumiputera dalam bidang profesional jauh lebih
rendah berbanding dengan bangsa-bangsa lain.
"Ini berlaku kerana suara umat Islam tidak didengar oleh pihak yang berwajib," ujar beliau. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.