
Ahli Parlimen PKR Pandan Mohd Rafizi Ramli menafikan spekulasi yang mengatakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan partinya, PPBM, akan mencetuskan tsunami Melayu yang akan memenangkan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Naib Presiden PKR yang mengetuai badan kaji selidik Invoke Malaysia berkata rumusan itu berdasarkan data-data yang dikumpulkan hasil penyelidikan badan pemikirnya itu.
“Sekiranya anda bertanya kepada saya apakah akan berlaku tsunami disebabkan PPBM dan Dr Mahathir, saya katakan tidak, itu tidak akan berlaku.
“Saya beritahu perkara ini setiap hari kepada Dr Mahathir, Muhyiddin Yassin dan pemimpin parti mereka dan mereka menerimanya.
“Anda boleh bertanya kepada mereka berdua jika data ini yang saya bentangkan dalam mesyuarat kami. Tidak ada ahli PPBM yang terluka disebabkan apa yang saya katakan kerana mereka tahu data ini membantu kami merancang taktik dan strategi terbaik di kerusi terbaik,”katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata tanpa ‘Tsunami Melayu’ harapan Pakatan DAP untuk menawan Putrajaya menjadi semakin sukar.
“Rafizi Ramli berkata kajian Invoke telah mendedahkan bahawa Mahathir gagal mencetuskan ‘Tsunami Melayu’ dan itu sepatutnya menjadi peranan Mahathir dan PPBM.
“Tanpa ‘Tsunami Melayu’ ini, pencapaian PH mungkin lebih buruk daripada pada PRU-13 apatah lagi memenangi 120 kerusi Parlimen yang mereka sasarkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah Salleh, demi meraih pengundi Melayu, PH nampaknya tidak ada jalan lain selain menggunakan logo PKR untuk bertanding pada PRU-14.
“Ssebab itulah PH mungkin menggunakan logo PKR sebagai logo PH. DAP berkata ia tidak menggunakan logonya sendiri dalam PRU-14 manakala logo PAN mungkin menyebabkan pengundi Cina menjauhkan diri kerana imej Islamnya. Jadi yang tinggal hanyalah logo PKR.
“Penggunaan logo PKR sebagai logo bersama adalah strategi mereka untuk memperdayakan orang Melayu untuk mempercayai bahawa Pakatan menjadi lebih Melayu,” ujar beliau.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.