KOTA KINABALU: Perintah berkurung di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dilanjutkan dua minggu lagi bagi fasa ke-86.
Tempoh perintah berkurung bagi fasa baru itu dilanjutkan mulai petang esok hingga 23 April depan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, berkata peraturan itu
dikuatkuasakan di perairan bermula tiga batu nautika dari pantai di
tujuh daerah, iaitu Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan,
Sandakan dan Beluran dari jam 6 petang hingga 6 pagi.
Berikutan itu, beliau mengingatkan orang ramai di daerah terbabit
supaya tidak berada di lokasi diisytiharkan sebagai kawasan perintah
berkurung.
"Keperluan meneruskan perintah berkurung di perairan terbabit ialah
bagi memastikan ia tidak dicerobohi pengganas mengancam keselamatan
penyelidik antarabangsa, selain mengelakkan pelancong di pulau
peranginan daripada menjadi mangsa penculikan kumpulan pengganas dari
selatan Filipina.
"Ini kerana maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan
penculikan bagi mendapatkan wang tebusan (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf,
masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah
rentas sempadan.
"Kita juga mahu menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah
yang menjadi pengguna perairan serta berada di daratan kawasan ESSZONE,"
katanya dalam kenyataan.
Ramli berkata, pelaksanaan perintah berkurung turut memudahkan
penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot, selain
menimbulkan rasa selamat serta yakin pengusaha chalet dan aktiviti
perikanan dengan kehadiran kapal pasukan keselamatan.
"Saya juga memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah terbabit untuk
mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon memenuhi syarat bagi
tujuan aktiviti perikanan atau laluan melalui kawasan perintah berkurung
yang mendesak," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan