HALAMAN SANTAI

Jumaat, 6 April 2018

PPBM pertikai notis pembubaran sementara RoS

Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Pendaftar Pertubuhan (RoS) menyalahgunakan kuasa dan cuba mensabotaj proses demokrasi dalam negara apabila mengeluarkan arahan untuk parti itu dibubarkan sementara.
 
Malah beliau turut mempertikaikan mengapa pihaknya tidak dimaklumkan terlebih dahulu sebelum RoS mengumumkan perkara itu dalam sidang medianya di Putrajaya, semalam.
 
Menurut Dr Mahathir, RoS gagal menghantar notis itu kepada PPBM berikutan alamat yang digunakan adalah salah.
 
"Tindakan RoS ini adalah satu perbuatan penyalahgunaan kuasa. Sepatutnya RoS bersifat neutral dan bukan cuba mensabotaj proses demokrasi dan PRU14 dengan mengikut telunjuk Umno.
 
"Notis ini tidak dihantar kepada pihak yang sepatutnya dan jika mengikut undang-undang, notis berkaitan perlu diserahkan 'by hand' kepada orang yang sepatutnya dan bukan kepada orang lain.
 
"RoS menyatakan alamat rasmi PPBM di Damansara tetapi pegawai RoS menghantar notis ke sini (Galeri PPBM) dan tidak menyerahkan notis kepada pihak sepatutnya," jelasnya.
 
RoS pada Khamis mengeluarkan perintah pembubaran sementara ke atas PPBM berdasarkan notis mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966.
 
Surayati berkata PPBM diberi 30 hari untuk membuat rayuan terhadap keputusan itu namun perlu mengemukakan semua dokumen-dokumen yang diminta RoS.
 
Jika gagal berbuat demikian, PPBM akan secara automatik terbubar.
 
Mengulas lanjut, Dr Mahathir mendakwa RoS menggunakan bahasa yang mengelirukan dalam notis berkenaan. 
 
"Ayat yang digunakan oleh RoS amat melucukan sehingga kami sukar memahaminya.
 
"Surat tersebut juga menyebut istilah yang saya tidak pasti sama ada bubar atau batal, jadi kami pasti parti ini akan berfungsi seperti biasa sehingga RoS batalkan parti ini secara rasmi," katanya.
 
Dr Mahathir kemudiannya berkata pihaknya sudah bersedia untuk partinya dikenakan tindakan oleh RoS, justeru PPBM bersetuju untuk bertanding di bawah logo satu daripada tiga parti komponen Pakatan Harapan (PH).
 
Pengumuman mengenai logo manakah yang akan digunapakai PPBM pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dikatakan akan diumumkan Dr Mahathir hari ini (Jumaat) di Johor.
 
"Itu pilihan kita, kita akan umumkan pada malam esok di Pasir Gudang, Johor.
 
"Itu embargo kita," ujarnya.
 
Sidang akhbar PPBM itu juga dihadiri Timbalan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir  dan Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM.
 
 

Tiada ulasan: