HALAMAN SANTAI

Sabtu, 23 Jun 2018

'20 tahun DBKL gagal urus dengan baik'


'20 tahun DBKL gagal urus dengan baik'
Ameer (kanan) bersama Maideen (tiga kanan) dan Mohamad Kahtir (empat kanan) merakamkan gambar bersama selepas sidang media yang berlangsung sebentar tadi.
 
 
KUALA LUMPUR - Persatuan Peniaga Jalan Masjid India (Miba) menolak sebarang penganjuran bazar Ramadan dan pasar malam di sepanjang kawasan tersebut yang menimbulkan pelbagai permasalahan sebelum ini.

Pengerusinya, Datuk Wira Ameer Ali Mydin berkata, pihaknya menolak perkara berkenaan susulan kegagalan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menguruskan penjaja gerai di sini dengan sebaiknya sejak 20 tahun lalu.

"20 tahun DBKL gagal mengawal keadaan penjaja di sini sehingga menimbulkan pelbagai isu antaranya seperti yang berlaku baru-baru ini melibatkan sewaan tapak penjaja bazar Ramadhan sehingga menimbulkan kekecohan.

"Disebabkan itulah kami menolak sebarang penganjuran bazar Ramadan dan pasar malam di sini bagi menyelesaikan isu-isu yang timbul," katanya ketika sidang media yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Masjid India, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan mengenai dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan bagi mendapatkan 80 tapak bazar di Jalan Masjid India pada Ramadan lalu.

Difahamkan, tapak bazar itu kemudian disewakan semula sehingga RM5, 000 bagi satu lot dan dianggarkan penganjur mengaut keuntungan keseluruhan kira-kira RM400,000.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Ameer berkata, penganjuran bazar Ramadan dan pasar malam di sini juga seringkali menyebabkan berlakunya masalah lalu lintas sehingga mengundang kesesakan yang teruk.

"Dan keadaan ini amat merunsingkan kami sekiranya berlaku sebarang kecemasan berikutan jentera bomba dan ambulans sukar untuk memasuki kawasan ini.

"Disebabkan itu kami meminta supaya struktur binaan bazar moden di sini dihapuskan bagi menggelakkan lebih banyak isu timbul," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Peniaga Wisma Yakin, Datuk Maideen Kadir Shah berkata, sebelum ini pihaknya pernah memberikan cadangan dan pandangan berhubung permasalahan itu kepada pihak berwajib namun tiada sebarang tindakan diambil sehingga kini.

Beliau berkata, permasalahan itu juga telah menyebabkan peniaga di Wisma Yakin semakin dipandang sepi oleh orang awam dan diibaratkan seperti nyawa-nyawa ikan.

"Kewujudan penjaja di sepanjang Masjid India ini telah memberi kesan kepada kami. Malah ada juga penjaja yang tidak memiliki lesen tapi beroperasi sesuka hati," katanya.

Suhubungan itu, Penasihat Kebangsaan Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (Gepima), Mohamad Kahtir Ali berkata, pihaknya berharap agar DBKL tidak lagi mengeluarkan lesen kepada penjaja di sini berikutan kegagalan mereka menguruskan tapak berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya juga berharap agar gerai-gerai penjaja terlibat dapat dipindahkan ke lokasi lain yang lebih bersesuaian.

"Antara lokasi yang boleh dipindah ialah Jalan Raja Laut berhadapan dengan Pejabat DBKL atau pun kawasan yang luas seperti Stadium Bukit Jalil," katanya

Tiada ulasan: