Salahuddin ketika beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada majlis berkenaan, sebentar tadi.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata, cadangan awal akan mengambil kira pendapat semua pihak yang berkepentingan terlebih dahulu bagi memastikan tiada sebarang komplikasi dalaman berlaku sepanjang projek tersebut mengalami fasa perubahan.
Sehubungan itu, katanya, model baharu yang akan diterapkan itu juga adalah untuk memastikan ia tidak mengulangi kesilapan lalu sekali gus merealisasikan sasaran kementerian untuk meningkatkan 30 peratus bekalan daging lembu tempatan.
“Sama ada kita (kementerian) mahu meneruskan projek seperti NFC yang kita akan jenamakan semula, pastinya perlu mematuhi objektif membekalkan 30 peratus daging tempatan tercapai.
“Perbincangan masih diteruskan dan dijangka pada Julai ini, cadangan awal mengenainya boleh diperoleh dari semua stakeholder (pihak berkepentingan) di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Peringkat Parlimen Pulai di Tapak Bazar Ramadan Perling Mall, di sini, hari ini.
Salahuddin berkata, projek tersebut mempunyai potensi dan boleh mencapai sasaran sekiranya dilaksanakan dengan urus tadbir tersusun serta tidak terpalit dengan sebarang unsur penyelewengan seperti yang berlaku sebelum ini.
“Projek ini boleh berjaya sekiranya tidak ada penyelewengan tetapi penyelewengan yang berlaku, ia termasuk pinjaman hampir RM200 juta dan tambahan dana daripada kementerian kira-kira RM58 juta hanya untuk infrastruktur projek.
“Jadi kita nak mula balik dengan satu program baharu yang saya yakin tidak ada penyelewengan serta boleh diurus tadbir dengan baik, ia akan bermula daripada kosong,” katanya.
Pada masa sama katanya, kerajaan baharu yang dibentuk menerajui kepimpinan negara sedang menunggu perkembangan kes NFC yang masih lagi didengar di mahkamah.
“Ia dah gagal (projek NFC), saya tidak mahu fikir dan kita tutup buku lama serta tidak mengulangi kesilapan lalu, selain akan mendengar pandangan daripada pihak berkepentingan dari industri itu.
“Isu NFC ini masih lagi ada kes dalam mahkamah, dan kita sedang menunggu perkembangannya,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan