Khairul Azwan Harun berjanji untuk mengehadkan umur bagi jawatan ketua dan naib ketua Pemuda Umno kepada 40 tahun berbanding sekarang yang bersifat terbuka.
Semasa mengumumkan manifestonya sebagai calon ketua Pemuda Umno Khairul Azwan berkata dia juga berjanji untuk mengehadkan umur anggota pergerakan terbabit kepada tidak melebihi 35 tahun.
Jika ia menjadi kenyataan, langkah tersebut akan membawa perubahan terhadap Pemuda Umno yang ketika ini membenarkan keanggotaan sayap terbabit sehingga berusia 40 tahun.
"Ini adalah agenda utama saya (jika dipilih sebagai ketua Pemuda Umno).
"Saya akan laksanakan ikrar ini dalam tempoh tiga tahun. Ia akan melibatkan pindaan perlembagaan," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur hari ini.
Bagaimanapun untuk rekod pada tahun ini usia Khairul Azwan ialah 41 tahun.
Ditanya mengenai hal itu senator yang turut dikenali dengan nama Azwan Bro berkata dia terpanggil untuk membuat perubahan berkenaan.
"Ya, mengikut peraturan sekarang, ia mengizinkan sesiapa yang berumur melebihi 40 tahun bertanding. Maka saya rasa terpanggil untuk membawa perubahan tersebut.
"Selaku naib ketua Pemuda Umno yang tahu secara mendalam pelbagai isu dan yang ada dalam parti, saya rasa terpanggil dan bertanggungjawab membawa isu berkenaan, maka saya berani tawarkan dalam janji saya bahawa kita perlu berubah," katanya.

Menurut Khairul Azwan lagi perubahan berkenaan juga perlu dibuat bagi memastikan sayap parti terbabit boleh menjadi tempat untuk melatih golongan muda menjadi pemimpin.
Pada masa sama Khairul Azwan berkata langkah tersebut juga dapat menjadikan Pemuda Umno kekal muda, segar dan diterima semua pihak.
Sementara itu Khairul Azwan turut mengakui dia mungkin kesetiaan yang dipegangnya turut menjejaskan Umno.
Antaranya kata Khairul Azwan berhubung amalan menegur pemimpin dan menjadi suara rakyat.
"Mungkin saya terlepas pandang.
"Sebelum ini saya sudah kemukakan pernohon maaf secara terbuka. Mungkin kerana dasar kesetiaan saya - atau perkataan yang selalu kita guna, walak - mungkin tak kena tempat," katanya.
Untuk rekod penyandang ketua Pemuda Umno kini ialah Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Bagaimanapun bekas menteri itu memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan tersebut, sebaliknya mencuba nasib bertanding bagi jawatan presiden Umno.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.