Kenyataan video Jamal dimuat naik dalam status Facebook seorang ahlinya, sebentar tadi.
Calon Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, perwakilan mesti membuat pilihan terbaik kerana jika tersalah pilih, beliau khuatir pemuda Umno layu dan lembik selamanya.
Justeru, katanya, beliau tampil menawarkan diri untuk bertanding jawatan itu sekali gus mengambil peranan dan tanggungjawab untuk memulihkan parti itu selepas semua saluran undi pemuda tewas pada PRU14 lalu.
"Saya bukan mengatakan pimpinan pemuda sebelum ini tidak baik atau gagal tetapi setidak-tidaknya dalam keadaan Umno sebagai pembangkang secara keseluruhan di dalam negara kita ini, saya yakin dan percaya mampu membawa pemuda ke arah kegemilangan dan lebih bermaruah," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi video yang dimuat naik dalam status Facebook yang dikongsi seorang ahlinya dalam aplikasi WhatsApp kumpulan media, sebentar tadi.
Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar berkata, beliau tidak bermaksud hanya ingin bersama-sama Pemuda Umno untuk menghadapi pilihan raya semata-mata.
"Tetapi, lebih besar daripada itu adalah untuk memulihkan sayap ini yang suatu ketika dahulu amat disegani, dihormati dan digeruni di dalam negara ini.
Beliau turut mengakui tanggungjawab yang bakal digalas setiap calon pemuda Umno amat berat terutama bagi menarik semula kepercayaan golongan muda dan rakyat di negara ini.
"Berikanlah kepercayaan kepada saya untuk memimpin pemuda Umno untuk penggal ini dan saya yakin dengan mandat dan kepercayaan yang diberikan oleh seluruh perwakilan, saya mampu menggemilangkan kembali pemuda Umno lebih bermaruah disegani dan digeruni," katanya.
Jamal tersenarai dalam sembilan calon Ketua Pemuda yang bakal bertanding dalam pemilihan Umno termasuk Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun.
Jamal sebelum ini dilaporkan menghilangkan diri selepas dimasukkan ke Hospital Pakar Ampang Puteri.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan waran tangkap terhadap Jamal telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ampang, 1 Jun lalu mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan iaitu melarikan diri daripada tahanan yang sah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan