Halaman

Sabtu, 23 Jun 2018

KJ ubat Umno dibenci anak muda





KHAIRY Jamaluddin (KJ) berusia 23 tahun ketika menjadi hos program bual bicara isu semasa Dateline Malaysia, terbitan NTV7 pada 1999. Program bual bicara isu politik ini antara yang mendedahkan pergaulan awal KJ dengan banyak tokoh politik termasuk pembangkang. Sebagai hos, KJ mewawancara empat mata, Tian Chua dan R. Sivarasa.

Ketika itu era reformasi. NTV7 satu-satunya stesen TV yang agak neutral laporannya ketika krisis politik reformasi Anwar Ibrahim sedang memuncak. KJ dianggap hos berprofil tinggi. Pertama, kerana dia sangat muda dan kacak. Kedua, KJ celik politik dan memang bijak.

Bonusnya pula, KJ lulusan Oxford. Tidak mudah pada era itu untuk penerbit TV mendapatkan hos bual bicara semuda usia 23 tahun. Apa lagi yang kacak dan bijak. KJ lulusan Kolej St. Hugh, Oxford United Kingdom. Faktor wownya pula, dia lulusan jurusan Falsafah, Politik & Ekonomi.

Pada 1997 hingga 1998, KJ menamatkan Ijazah Sarjana Teori Undang-Undang dan Politik, University College, London. KJ juga felo di Pusat Pengajian Islam, Oxford.

Malah, hingga kini, profil KJ sebagai hos menjadi penanda aras yang tidak pernah disaingi. Selepas KJ, tidak ada hos dalam sejarah TV di negara ini yang memiliki profil personaliti dan pendidikan sehebat KJ.

Bagi profil TV, mana-mana penerbit pun akan bersetuju dengan satu realiti mengenai KJ. Bahawa, tidak ada hos yang melangkah masuk ke industri penyiaran pada usia 23 tahun dengan kematangan politik sehebat KJ.

Sejak KJ meninggalkan Dateline Malaysia, banyak hos program bual bicara politik hanyalah sekadar, ala-ala boleh sahajalah kualitinya.

Tapi itu KJ 20 tahun lalu. Ketika namanya baru menyinar.

Pada 2001, KJ mengahwini Nori Abdullah. Gadis cantik anak Timbalan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi. Pada hujung 2003, Abdullah menjadi Perdana Menteri.

KJ pula kemudiannya melangkah sasa ke dunia politik sebagai Naib Ketua Pemuda Umno ketika itu.

KJ mula melalui tempoh hangat politik apabila bertanding di Parlimen Rembau dan menang pada PRU 2008. Pada 2009, KJ bertanding Ketua Pemuda Umno yang turut disaingi Mukhriz Mahathir dan Dr Khir Toyo.

KJ menang dalam suasana yang agak tegang. Di PWTC, keadaan saling ejek-mengejek berlaku antara penyokong kem KJ dan kem Mukhriz sebaik saja keputusan diumumkan. Waktu itu, krisis percanggahan pendapat sudah berlarutan agak lama antara Abdullah dan bekas PM, Dr Mahathir.

Jadi pertembungan merebut jawatan Ketua Pemuda antara menantu PM dan anak bekas PM, memang tegang.

Tapi itu semua sejarah.

KJ makin matang hari demi hari. Sesuai dengan personaliti dan IQ-nya yang dianggap mewakili DNA baharu dalam Umno. KJ dilihat DNA generasi pasca moden yang mampu memecah dominasi generasi veteran Umno yang sangat konservatif.

Hari ini, KJ bakal melalui detik yang lebih mencabar. Pada 17 Jun, KJ mengubah keputusan dalam menghadapi Pemilihan Umno 2018. Bermula dengan keputusan bertanding kerusi Naib Presiden pada 1 Jun, KJ mendadak mengubah keputusan.

KJ memutuskan bertanding jawatan presiden Umno pada 30 Jun ini. KJ mengubah sasaran, 24 jam selepas Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) mengumumkan keputusan bertanding menentang Ahmad Zahid Hamidi.

Pengumuman Ku Li pada 16 Jun, mengubah destinasi politik KJ, dua jam sebelum pencalonan ditutup pada 5.00 petang, 17 Jun. Kini, KJ akan berdepan dua gergasi Umno.

Namun, gergasi tidak selalu kuat. Gergasi dalam banyak keadaan, walaupun nampak gagah, tetapi relatifnya tidak selalu relevan.

Peluang KJ jadi Presiden Umno tetap ada. Itu pun, sekiranya perwakilan melihat realiti sebenar berdasarkan keputusan PRU 14 lalu. Umno lingkup kerana gagal menawan undi dari saluran empat, lima dan enam. Saluran ini mewakili pengundi muda.

Kenapa? Kerana anak muda menyampah dengan wajah-wajah tua yang dilihat sebagai boneka kleptokrasi. Anak muda marah dengan wajah-wajah senior Umno yang kotor dengan korupsi.

Selebihnya, veteran Umno yang banyak bercakap, terlihat bodoh dan kurang berakal di mata anak muda.

Namun, itulah Umno. Parti feudal yang serba sentimental. Umno barangkali mahukan feudalis seperti Ku Li. Walaupun selepas kalah dalam perebutan kerusi Presiden Umno pada 1987, Ku Li tidak pernah berjasa apa-apa pun pada Umno.

Malah, selepas kembali pada Umno pada 1996, Ku Li hanya 'tidur membuta'. Ku Li tidak memainkan sebarang peranan ketika Umno melalui detik-detik sukar selepas hilang majoriti dua pertiga pada PRU 2008 dan PRU 2013.

Zahid pula mangsa gerakan anti Najib yang ditiupkan Umno Johor. Apabila BN tumbang pada PRU 14, Najib dianggap sebagai 'bala bagi segala bencana'.

Justeru, kerana Zahid dilihat sekutu Najib, Umno Johor beranggapan, dia mesti dihapuskan.

Sikap ini bukan kejutan. Ini DNA Umno. Parti yang melahirkan dan membunuh setiap pemimpinnya sendiri. Itu kegilaan dan nafsu berahi Umno yang boleh difahami.

Justeru, Ku Li dianggap dinosaur tua. Zahid dianggap sekutu Najib. Jadi apa pula masalah KJ?

Masalah KJ ialah dia muda. Baru berusia 42 tahun. Otai-otai Umno seperti Nazri Aziz pasti tidak menyenangi KJ. Alasan ketakutan mereka mudah difahami. Kalau gelombang KJ mencetuskan fenomena dalam Umno, otai-otai seperti Nazri juga akan kehilangan tempat.

Ingat! DNA Umno: Apabila mereka mahukan seseorang, pemimpin itu akan disanjung. Apabila mereka membencinya, pemimpin itu akan ditendang tanpa harga dan maruah.

Umno pernah melakukannya pada Musa Hitam, Ghafar Baba dan Anwar Ibrahim. Umno kemudian melakukannya pada Abdullah. Umno melakukannya juga pada Dr Mahathir. Malah, sekarang Umno melakukannya pada Najib.

Fenomena KJ kini diserami otai-otai. KJ mampu mencipta gelombang kebangkitan pemimpin muda. Impaknya, ia mampu mencetuskan teori domino untuk menyisihkan semua otai-otai yang dianggap sebagai dinosaur bangka!

Itu saja satu-satunya ketakutan senior Umno sekiranya KJ menang. Itulah yang menghalang KJ daripada menjadi Presiden Umno.

Jadi, kini perwakilan yang bakal mengundi, harus bertanya pada diri sendiri: Sama ada mahukan perubahan, atau membiarkan Umno kekal di takuk lama.

Pastinya, pengundi tidak memerlukan tokoh seperti Ku Li. Dia fosil feudal yang sudah terlalu tua.

Malah, Ku Li bukan Dr Mahathir. Ku Li tidak memiliki karektor pejuang tulen. Ku Li dan Dr Mahathir berada dalam dua liga yang jauh berbeza.

Mengenai Zahid pula, perwakilan mungkin berdendam pada Najib sebagai punca BN tersungkur teruk. Justeru, adilkah Zahid turut dijadikan mangsa?

Cuma, perwakilan boleh melupakan Ku Li dan Zahid kalau dendam dijadikan ukuran. Tetapi KJ masih muda. Namun, walaupun muda, KJ sudah matang berpolitik kerana rekodnya sebagai ketua pemuda pada usia 32 tahun.

Ketika Umno menuju jalan mati sekarang, KJ nampak relevan untuk menyelamatkan Umno daripada mati katak! 

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.