THE MALAYSIAN TIMES
SHAH ALAM: Pemergian Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma adalah satu kehilangan besar kepada PKR kerana beliau antara pengasas parti itu.
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau juga tidak menyangka penyakit Allahyarham serius kerana Mat Shuhaimi sentiasa dilihat tersenyum dan berada dalam keadaan sihat.
“Bila Allahyarham jadi ADUN Sri Muda, sekarang (DUN) Sungai Kandis, kita tak sangka penyakit beliau melarat sebab nampak sihat… dia selalu senyum..kita selalu panggil dia ‘Sri, Sri’ dan ‘Muda, Muda’.
“Semoga Allah ampuni roh beliau dan tempatkan arwah dalam kalangan para solihin,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi jenazah Allahyarham di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Ketika ditanya bila Mat Shuhaimi dikesan menghidap kanser limfoma, Dr Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata apabila ditanya, Allahyarham tidak pernah menyatakan secara terperinci mengenai penyakitnya.
“Kita tanya dia selalu tetapi dia tidak berikan detail, dia cakap sakit saraf sahaja,” kata Dr Wan Azizah.
Mat Shuhaimi, 50, yang juga bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya kira-kira 11.10 pagi ini.
Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini, selepas Asar.
Turut hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham ialah Mohamed Azmin, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan