Pengumuman mengenai pelarasan Kos Pelepasan Tidak Seimbang (ICPT) akan menyebabkan kenaikan kadar tarif efektif elektrik bagi rakyat, kata Naib Ketua Pemuda UMNO yang baharu, Shahril Hamdan.
Beliau berkata kenaikan tersebut akan memberi kesan kepada 2.5 juta pengguna domestik yang menerima rebat selama.
“2.5 juta atau lebih kurang 36 peratus pengguna domestik (isi rumah/rakyat biasa) yang menggunakan elektrik melebihi 300kWj sebulan tidak lagi akan menerima rebat dan kini terpaksa membayar tarif elektrik pada kadar asas sepenuhnya. Dalam bahasa mudah, bil elektrik naik.
“Jika ada memandang bahawa 36% ini bukan majoriti isi rumah, perlu diingat bahawa pemberhentian rebat diganti dengan impak surcaj 1.35 sen setiap kWj ke atas pengguna bukan domestik seperti kilang, kedai dan premis perniagaan bakal meningkatkan kos operasi dan pengeluaran lantas menyaksikan peniaga terpaksa menaikkan harga jualan dan perkhidmatan mereka,” katanya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata penduduk juga terpaksa berhadapan dengan pertambahan kos berganda apabila GAS Malaysia juga baru-baru ini mengumumkan kenaikan tarif asas gas asli sebanyak 77 sen bagi sektor bukan tenaga.
“Kenaikan tarif gas asas gas asli dan kenaikan tarif elektrik ini akan mewujudkan kesan berganda terhadap kos operasi perniagaan, dan kepada isi rumah.
“Segala perkembangan ini berlaku tatkala penurunan kadar GST kepada 0% tidak terbukti berjaya menurunkan harga barang malah terdapat banyak rungutan mengenai kenaikan harga barang selepas keputusan tersebut dibuat. Barangkali setelah pengenalan semula SST kelak, satu lagi tamparan inflasi bakal menanti rakyat Malaysia.
“Maka Pemuda UMNO Malaysia ingin mendesak agar Kerajaan menangguhkan pelepasan surcaj kepada rakyat dan pemberhentian rebat ini bagi mengelakkan kenaikan kos berganda kepada rakyat yang semuanya tampak berlaku dalam suatu tempoh yang pendek,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.