KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengarahkan kumpulan pemuzik jalanan atau buskers orang kurang upaya (OKU) berpindah ke kawasan baharu sekiranya masih melanggar syarat ditetapkan agensi itu.
Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata,
langkah itu perlu diambil bagi tidak mengganggu orang ramai dan menjaga
ketenteraman di kawasan popular pusat bandar.
“Saya akan berjumpa dengan kumpulan ini selepas
Hari Raya Aidiladha ini bagi menyelesaikan masalah yang timbul. Kalau
mereka masih berdegil, jangan marah jika kami tempatkan mereka di
kawasan yang tidak menjadi tumpuan.
“DBKL tidak akan bertindak sesuka hati. Tindakan ini berikutan sudah banyak kali aduan diterima daripada orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau projek River of Life di Masjid India di sini hari ini.
Sementara itu, media hari ini melaporkan, DBKL melarang penggunaan alat muzik drum dan alat siaraya oleh buskers sekitar ibu negara berkuatkuasa serta merta.
Timbalan Pengarah Kanan Penguatkuasa DBKL, Osman
Ismail berkata, larangan tersebut telah dimaklumkan melalui notis
peringatan yang dikeluarkan pada awal bulan ini kepada kumpulan pemuzik
berdaftar dan memiliki permit untuk dipatuhi.
“Tindakan penguatkuasaan hanya dilakukan selepas
tempoh dua minggu notis dikeluarkan bagi memberi peluang kepada mereka
mematuhi syarat-syarat yang terkandung dalam permit penghibur jalanan.
“Peraturan pemakaian tag permit sewaktu
‘busking’ juga diwajibkan termasuk mematuhi lokasi dan had waktu
persembahan muzik jalanan yang telah ditetapkan,” katanya. –
MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.