HALAMAN SANTAI

Selasa, 21 Ogos 2018

‘Buskers’ pindah kawasan baharu jika berdegil – Khalid

Mohammad Arif Nizam

MGF14082018_PC-KHALID-SAMAD04-681x454
Menteri Wilayah Persekutuan, yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad bercakap pada sidang media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL
 

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengarahkan kumpulan pemuzik jalanan atau buskers orang kurang upaya (OKU) berpindah ke kawasan baharu sekiranya masih melanggar syarat ditetapkan agensi itu.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, langkah itu perlu diambil bagi tidak mengganggu orang ramai dan menjaga ketenteraman di kawasan popular pusat bandar.

“Saya akan berjumpa dengan kumpulan ini selepas Hari Raya Aidiladha ini bagi menyelesaikan masalah yang timbul. Kalau mereka masih berdegil, jangan marah jika kami tempatkan mereka di kawasan yang tidak menjadi tumpuan.

“DBKL tidak akan bertindak sesuka hati. Tindakan ini berikutan sudah banyak kali aduan diterima daripada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau projek River of Life di Masjid India di sini hari ini.

Khalid diminta mengulas tindakan sita alat muzik salah sebuah kumpulan ‘buskers’ kurang upaya oleh DBKL dalam satu operasi penguatkuasaan sekitar Bukit Bintang di sini yang tular di media sosial baru-baru ini.

Sementara itu, media hari ini melaporkan, DBKL melarang penggunaan alat muzik drum dan alat siaraya oleh buskers sekitar ibu negara berkuatkuasa serta merta.

Timbalan Pengarah Kanan Penguatkuasa DBKL, Osman Ismail berkata, larangan tersebut telah dimaklumkan melalui notis peringatan yang dikeluarkan pada awal bulan ini kepada kumpulan pemuzik berdaftar dan memiliki permit untuk dipatuhi.
 
“Tindakan penguatkuasaan hanya dilakukan selepas tempoh dua minggu notis dikeluarkan bagi memberi peluang kepada mereka mematuhi syarat-syarat yang terkandung dalam permit penghibur jalanan.

“Peraturan pemakaian tag permit sewaktu ‘busking’ juga diwajibkan termasuk mematuhi lokasi dan had waktu persembahan muzik jalanan yang telah ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: