Halaman

Ahad, 19 Ogos 2018

PRM seru rakyat tidak keluar rumah 96 jam bantah pelaksanaan SST

BNPPORTAL 

 

Sebagai menandakan penolakan mereka terhadap pelaksanaan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST), Parti Rakyat Malaysia (PRM) akan mengadakan mogok untuk tidak keluar rumah selama empat hari bermula 1 September ini.

Menurut seorang pemimpin parti itu, Datuk Wong Mun Kheong, mogok selama 96 jam itu adalah berdasarkan kepada tindakan serta kata-kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menganggap rakyat seolah-olah seperti badut..

“Kami akan bersama dengan semua rakyat Malaysia, mogok secara aman dan damai dengan cara tidak keluar dari rumah pada jam 12 malam tepat pada 1 September 2018 sehingga jam 11.59 malam tepat pada 4hb September, 2018.

“Mogok selama 96 JAM ini, adalah berdasarkan kepada kata-kata kedua-dua individu tersebut, yang mengatakan bahawa kalau ada sesiapa yang enggan dikenakan SST, maka janganlah membeli apa-apa barang ataupun perkhidmatan.

“Apabila kita tidak keluar rumah, maka kita tidak akan ‘membeli’ apa-apa barang ataupun ‘membeli’ apa-apa perkhidmatan yang akan dikenakan SST ke atas kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, tindakan sedemikian dapat menunjukkan kepada kedua-dua individu tersebut bahawa rakyat tidak tunduk kepada keangkuhan mereka.

“Dengan berbuat demikian juga, kita dapat melumpuhkan ekonomi negara dengan segera, dan seterusnya, memaksa kedua-dua individu tersebut meletak jawatan dan mengadakan rundingan yang baru antara kerajaan pusat dengan rakyat Malaysia, supaya perlaksanaan dasar-dasar ekonomi yang lebih mantap, matang dan bermanfaat kepada rakyat jelata.

“Maka, saya merayu kepada semua pihak, supaya kita dapat menjayakan mogok ini, demi masa depan anak-anak dan cucu-cicit yang kita cintai dan sayangi,” kata bekas calon PRM di Parlimen Damansara pada PRU14 itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.