BNPPORTAL
Menurut seorang pemimpin parti itu, Datuk Wong Mun Kheong, mogok selama 96 jam itu adalah berdasarkan kepada tindakan serta kata-kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menganggap rakyat seolah-olah seperti badut..
“Kami akan bersama dengan semua rakyat Malaysia, mogok secara aman dan damai dengan cara tidak keluar dari rumah pada jam 12 malam tepat pada 1 September 2018 sehingga jam 11.59 malam tepat pada 4hb September, 2018.
“Mogok selama 96 JAM ini, adalah berdasarkan kepada kata-kata kedua-dua individu tersebut, yang mengatakan bahawa kalau ada sesiapa yang enggan dikenakan SST, maka janganlah membeli apa-apa barang ataupun perkhidmatan.
“Apabila kita tidak keluar rumah, maka kita tidak akan ‘membeli’ apa-apa barang ataupun ‘membeli’ apa-apa perkhidmatan yang akan dikenakan SST ke atas kita,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya lagi, tindakan sedemikian dapat menunjukkan kepada kedua-dua individu tersebut bahawa rakyat tidak tunduk kepada keangkuhan mereka.
“Dengan berbuat demikian juga, kita dapat melumpuhkan ekonomi negara dengan segera, dan seterusnya, memaksa kedua-dua individu tersebut meletak jawatan dan mengadakan rundingan yang baru antara kerajaan pusat dengan rakyat Malaysia, supaya perlaksanaan dasar-dasar ekonomi yang lebih mantap, matang dan bermanfaat kepada rakyat jelata.
“Maka, saya merayu kepada semua pihak, supaya kita dapat menjayakan mogok ini, demi masa depan anak-anak dan cucu-cicit yang kita cintai dan sayangi,” kata bekas calon PRM di Parlimen Damansara pada PRU14 itu.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan