Halaman

Isnin, 15 Oktober 2018

Kerajaan unjur kurangkan baki pinjaman Felda kepada RM6.8bilion pada akhir 2018



Kerajaan unjur kurangkan baki pinjaman Felda kepada RM6.8bilion pada akhir 2018

Pelan pemulihan aliran tunai Felda dijangkakan dapat mengurangkan 15 peratus baki pinjaman institusi itu daripada institusi kewangan kepada RM6.8 bilion pada akhir 2018, daripada RM8 bilion sehingga Jun 2018, kata Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata selain itu harga minyak sawit mentah (MSM) yang rendah juga merupakan antara faktor yang memberi kesan kepada kedudukan aliran tunai Felda yang semakin berkurangan.

“Pelan pemulihan kedudukan aliran tunai Felda merupakan pelan jangka panjang yang sedang diberikan tumpuan oleh Lembaga Pengarah dan pengurusan Felda yang baharu dilantik pada Julai 2018,” katanya menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini, mengenai kadar semasa aliran tunai Felda dan langkah yang dilakukan oleh kerajaan untuk membela nasib peneroka Felda, lapor Bernama.

“Perkara ini (pelan pemulihan aliran tunai) dimulakan dengan perjumpaan bersama beberapa institusi kewangan untuk menstrukturkan semula pinjaman Felda dengan institusi kewangan terbabit,” kata Mohamed Azmin.

Selain itu beliau berkata Felda juga sedang mengkaji keperluan untuk menjual aset-aset yang bukan strategik seperti hartanah di London, Sarawak dan Sabah yang dibeli pada kos sebanyak RM2.2 bilion.

“Kaedah ini dapat menampung sebahagian daripada komitmen Felda kepada 112,635 peneroka,” kata Mohamed Azmin.

Menerusi kaedah yang dilaksanakan ini, beliau berkata Felda dijangka dapat memulihkan kedudukan aliran tunai Felda dalam tempoh dua tahun akan datang.

Mohamed Azmin berkata kerajaan memberikan komitmen untuk memulihkan Felda secepat mungkin demi kesejahteraan peneroka, selaras matlamat penubuhan Felda di bawah Akta Kemajuan Tanah 1956.

“Isu dan langkah dalam pemulihan pengurusan kewangan dan tadbir urus Felda akan dibentangkan secara terperinci dalam Kertas Putih Felda yang akan dibentangkan dalam sidang Parlimen kali ini,” katanya.

Mohamed Azmin berkata kerajaan yakin kedudukan sebenar Felda dan langkah pemulihannya akan dapat dikenal pasti dan dapat diambil perhatian.

“Seterusnya ini akan membantu kerajaan merangka pelan tindakan pemulihan menyeluruh yang bersesuaian dan memberi manfaat langsung kepada Felda dan warga peneroka,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.