Anggota Jawatankuasa PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan festival Oktoberfest cuma kehendak segelintir golongan yang mempromosikan budaya buruk barat.
"Ia hanyalah desakan dan kehendak segelintir penafsu yang berhasrat menjauhkan rakyat daripada kehidupan bertata susila dan mendorong mereka untuk mempromosi budaya buruk barat dan menerimanya sebagai budaya hidup negara.
"Mereka ini harus ditentang, bukan diraikan," katanya dalam hantaran di Facebook malam ini.
Nik Abduh berkata beliau tidak menafikan hak bukan Islam terhadap minuman keras tetapi menegaskan penganjuran festival arak melanggar hak umat Islam.
"Tetapi untuk menjadikannya sebagai festival tahunan negara adalah telah turut melanggar hak orang lain terutama hak majoriti umat Islam.
"Ia mengganggu perasaan, maruah, malah nyata boleh mendatangkan mudarat kepada rakyat semuanya.
"Maka festival arak adalah terkeluar daripada menjadi hak non muslim semata-mata," katanya lagi.
Sensitiviti orang Islam
Terdahulu hari ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pihaknya menentang penganjuran Oktoberfest bagi menjaga sensitiviti orang Islam.
Sementara Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan pula memberitahu parti itu akan mengadakan demonstrasi sebagai langkah menyuarakan penentangan mereka terhadap acara Oktorberfest.
Langkah itu perlu diambil sekiranya PAS berpendapat Oktoberfest mengganggu ketenteraman orang Islam, jelasnya.
Sebelum ini Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad memberi lampu hijau terhadap penganjuran Oktoberfest jika penganjur membuat permohonan bagi mendapatkan permit dan mematuhi semua garis panduan ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Khalid berkata antara garis panduan yang perlu dipatuhi penganjur ialah orang Islam tidak dibenarkan terlibat dan ia dijalankan di tempat tertutup.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan pada 12 Oktober lalu berkata DBKL tidak mengeluarkan sebarang permit untuk penganjuran pesta arak ‘Oktoberfest 2018’.
Nor Hisham juga berkata sehingga kini DBKL tidak menerima sebarang permohonan permit untuk penganjuran pesta berkenaan.
“Kalau ia (Oktoberfest) dilakukan dalam premis itu sendiri (kedai arak) dan tidak dibawa keluar, tiada mabuk dan sebagainya, tidak mengapa.
"Tetapi kalau dibuat secara besar-besaran dengan mempamerkan papan iklan untuk pesta itu, memang DBKL akan turunkannya serta-merta,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.