Halaman

Selasa, 9 Oktober 2018

Majlis Veteran Tentera dihidup semula

 
   

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata Majlis Veteran Tentera akan diaktifkan semula meskipun kementeriannya berdepan dengan kekangan kewangan.

Menurut Mohamad, ia dilakukan bagi menjaga kebajikan bekas anggota tentera dan juga mereka yang masih berkhidmat.

“Saya berada di Sabah selama tiga hari bersama dengan tentera dan polis, melawat anggota keselamatan kita yang berkawal di sempadan Malaysia-Filipina.

“Saya berdialog dengan mereka. Mereka memberikan pandangan masing-masing dan walaupun kekurangan peralatan, mereka tetap menyatakan komitmen untuk menjalankan tugas dengan penuh amanah.

“Justeru, walaupun kita berdepan masalah kewangan, kita akan hidupkan kembali Majlis Veteran Tentera yang sudah lama tidak bersidang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Ceramah Mega Mahathir-Anwar Gandingan Mantap Harapan Malaysia di Waterfront di Port Dickson malam ini.

Hadir sama dalam ceramah itu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, timbalannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dan calon Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berdepan pertandingan tujuh penjuru pada PRK Port Dickson termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad dan bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.