
KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata bekas pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan tidak adil kerana membuat kesimpulan “tidak elok” terhadap parti itu berikutan kontroversi penambahan ahli di Julau, Sarawak dalam pemilihan kali ini.
Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata penambahan ahli turut berlaku di bahagian-bahagian lain selepas kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya 9 Mei lalu.
“Bukan ahli di Julau sahaja tapi di beberapa bahagian lain termasuk Lembah Pantai juga mengalami peningkatan ahli mendadak selepas PRU.
“Saya rasa mungkin tak adil untuk jatuhkan hukum daripada satu sudut pandang sahaja,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Ambiga di Twitter semalam berkata PKR akan kehilangan gelaran parti reformasi apabila gagal menjalankan proses pemilihan secara bersih dan adil.
Beliau berkata PKR perlukan kaedah pengundian yang boleh dipercayai lebih-lebih lagi parti itu yang memulakan gerakan Bersih.
Ambiga merujuk kepada dakwaan seramai 13,000 pengundi dimasukkan ke dalam rekod keahlian PKR di bahagian Julau pada Jun menjelang tarikh tutup keahlian baharu untuk mendapat hak mengundi.
Fahmi bagaimanapun berkata parti mengambil maklum isu berbangkit dan mungkin beberapa perkara tidak diterangkan secara menyeluruh.
“Mungkin kerana masa singkat antara minggu ke minggu,” katanya.
Sementara itu, calon naib presiden Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menghormati pandangan Ambiga dan ia perlu diambil untuk memperbaiki kelemahan pemilihan parti.
“Tentulah sebagai tokoh yang amat dekat dengan Bersih kita hormati pandangan beliau. Saya tidak pikir itu akan melemahkan semangat kita untuk terus melakukan reformasi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan