Halaman

Selasa, 13 November 2018

Hanipa anggap ulama PAS Selangor 'terbalik kot'

MALAYSIAKINI

   

Walaupun kedengaran garang dan tegas, kenyataan seorang ulama PAS mengenai tindakan beberapa wakil rakyat melompat parti menunjukkan kekeliruan pada beliau, kata anggota parlimen Sepang.

Menurut Hanipa Maidin kenyataan Ahmad Dusuki Abd Rani itu kelihatan songsang - dan memetik peribahasa Inggeris - meletakkan kereta kuda di depan kuda.

Merujuk kepada laporan Malaysiakini Hanipa berkata anggota Jawatankuasa PAS Selangor itu menganggap anggota dewan undangan negeri (Adun) atau anggota parlimen (MP) yang meninggalkan parti asal mereka berdosa walaupun menjadi wakil rakyat bebas.

"Media melaporkan beliau berkata: apakah dengan mengisytihar (menjadi) Adun atau MP bebas, kalian akan dianggap bersih daripada dosa?

"Selepas itu beliau berkata: para alim ulama perlu mempertegaskan hukum terhadap pelompat parti ini.

"Dari satu segi, agamawan berkenaan memohon alim ulama mempertegaskan hukum terhadap pelompat parti, tapi dari segi yang lain pula beliau sudah keluarkan 'fatwa' bahawa pelompat parti tak terlepas dari dosa," katanya.

Hanipa yang juga seorang peguam menambah jika Ahmad Dusuki 'menjatuhkan hukum' dengan menganggap pelompat parti sebagai memang berdosa, tidak ada keperluan untuk penceramah terkenal itu meminta ulama mengeluarkan hukum mengenainya.

"Jika sudah berdosa, bukankah sudah jatuh hukum? Buat apa nak minta pula ulama pertegas hukum?

"Orang putih kata, bukankah dengan cara ini you are putting the cart before the horse?" katanya yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.




Semalam Ahmad Dusuki yang terkenal dengan siri ceramah alam barzakh memuat naik pandangannya di media sosial selepas media melaporkan seorang Adun Umno Kedah meninggalkan parti berkenaan.

Malaysiakini memetik hantaran berkenaan hari ini.

Dalam nada garang dan ranggi Ahmad Dusuki berkata sepatutnya wakil rakyat yang melompat keluar dari parti mengosongkan kerusi masing-masing untuk membolehkan pengundi membuat pilihan semula.

Untuk rekod Ahmad Dusuki sendiri ialah salah seorang calon yang ditawarkan PAS pada PRU ke-14 lalu. Bagaimanapun beliau gagal merampas kerusi DUN Kota Anggerik daripada Pakatan Harapan dan tewas dengan perbezaan lebih 17,000 undi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.