Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyerahkan kepada pucuk pimpinan BN untuk menentukan calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (DUN) Rantau yang akan diadakan nanti.
Bagaimanapun Mohamad menyatakan kesediaan untuk mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenanginya pada PRU14 lalu.
“Sebagai mempertahankan jawatan sepatutnya saya bertanding, tetapi sekarang terpulang pada parti dan pucuk pimpinan untuk memutuskan calon yang terbaik,” katanya.
Terdahulu, Mohamad yang juga responden pertama dalam petisyen yang difailkan Dr S Streram berkata, beliau akan berbincang dengan barisan peguamnya mengenai keperluan untuk memfailkan rayuan berhubung keputusan petisyen pilihan raya yang diputuskan Mahkamah Tinggi di Seremban, pada Jumaat.
Menurutnya, beliau menghormati keputusan mahkamah yang memutuskan kemenangannya untuk kerusi DUN Rantau pada PRU14 lalu adalah tidak sah dan terbatal.
“Kita diberi masa 14 hari untuk memfailkan rayuan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar mahkamah, hari ini.
Pada 28 April lalu, Mohamad diumumkan menang tanpa bertanding kerusi DUN Rantau selepas Dr Streram dihalang masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Berikutan itu, pada 23 Mei lalu, Dr Streram yang juga pakar bius memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu diadakan semula, kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.
Dalam petisyennya, selain Mohamad selaku responden pertama, Dr Streram turut menamakan pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agos Suyub sebagai reponden kedua dan SPR responden ketiga.
Mohamad mula bertanding di kerusi itu dalam PRU11 pada 2004, menewaskan calon PKR, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard dengan majoriti 6,199 undi.
Beliau mengekalkan rekod cemerlang dengan menewaskan calon wanita PKR, Aishah Lamsah, dua kali berturut-turut iaitu pada PRU12 dan PRU13, masing-masing dengan majoriti 4,613 undi dan 3,783 undi
INFO DUN RANTAU
Jumlah pengundi DUN Rantau – 20,472
Pecahan pengundi mengikut kaum
– Melayu 53.43%
– Cina 18.81%
– India 27.01%
– Lain-lain 0.75%
Tiada ulasan:
Catat Ulasan