HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Mac 2019

AGC tidak tahu menahu kehilangan notis sita rumah Jho Low

MALAYSIAKINI

   
Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak tahu menahu mengenai kehilangan notis sitaan yang diletakkan minggu lalu di sebuah rumah mewah milik keluarga ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, di Pulau Pinang.

Difahamkan, AGC tidak bertanggungjawab untuk menanggalkan notis itu, yang jelas ditampal di pintu masuk rumah berkenaan di Tanjung Bungah Jumaat lalu.

"Kenapa harus kita tanggalkan notis sendiri? Perkara itu masih dalam siasatan," kata seorang pegawai dari AGC, yang memohon agar namanya tidak disiarkan.

Mengenai sama ada notis baru akan diletakkan, pegawai itu memberitahu Malaysiakini: "Kami sedang membincangkan sama ada untuk meletakkan notis baru atau tidak.

"Setakat ini, kami belum menerima sebarang arahan."

Timbalan Pendakwa Raya Syafinas Shabudin dan Superintendan Foo Wei Min, yang nama mereka tercatat dalam notis berkenaan, enggan mengulas ketika dihubungi.

Media minggu lalu melaporkan kediaman mewah yang dikaitkan dengan Jho Low itu disita sebagai sebahagian daripada siasatan penyelewengan wang 1MDB.

Kediaman yang beralamat di No 69, Tanjung Bungah Park di Tanjung Bungah, di Georgetown itu, disita polis Bukit Aman bahagian Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA).

Notis itu menamakan ibu Jho Low, Goh Gaik Ewe, 66, sebagai pemilik banglo tiga tingkat itu, dan ia ditampal di bahagian dinding berdekatan pagar di luar kediaman berkenaan.

Notis sitaan rumah berkenaan dikeluarkan Jabatan Peguam Negara, dan dibuat mengikut sub Seksyen 4 (1) AMLA 2001.

Banglo bernilai RM15 juta itu sebelum ini dihuni keluarga Jho Low, yang kini dipercayai berada di luar negara.

Tiada ulasan: