HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Mac 2019

Daim, Jomo setuju dedah laporan CEP tapi terserah k'jaan

MALAYSIAKINI

   

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Daim Zainuddin berpendapat laporan pihaknya itu perlu didedahkan kepada pengetahuan umum tetapi berkata terserah kepada kerajaan untuk melakukannya.

"Saya akan mendedahkannya untuk pengetahuan orang ramai tetapi hal tersebut bukan untuk diputuskan oleh saya.

"Saya cuma diminta mempengerusikan mesyuarat dan mengumpul maklumat, fakta, menganalisis dan membuat syor-syor (kepada kerajaan).

"Itulah peranan saya dan saya tidak akan pergi lebih daripada (peruntukan bidang kuasa) itu," katanya.

Menurut bekas menteri kewangan itu beliau memilih untuk berkongsi cadangan dalam laporan CEP bagi mendapatkan maklum balas lanjut dan perbahasan supaya orang ramai memperolehi yang terbaik.

Bagaimanapun, beliau mengambil maklum terdapat maklumat di dalam laporan itu diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Laporan CEP, jelas Daim lagi mengandungi syor-syor yang merangkumi 70 topik.

Timbalan Menteri Undang-undang Hanipa Maidin pada Khamis lalu berkata laporan CEP akan kekal di bawah OSA untuk melindungi makluma sulit di dalamnya.

Jomo ubah fikiran

CEP ditubuhkan pada 12 Mei tahu lalu, tiga hari selepas PH mengambil alih pentadbiran negara selepas menumbangkan BN pada PRU14.

Pembentukan majlis dengan anggota seramai lima orang ini merupakan tugas pertama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
CEP telah mewawancara 350 orang daripada 200 pertubuhan, kebanyakannya dari kerajaan dan syarikat GLC. Ia bagi merangka suatu laporan dasar reformasi ekonomi dan kewangan untuk perdana menteri.

Laporan itu diserahkan kepada kerajaan selepas 100 hari penubuhan CEP.

Sementara itu, Anggota CEP Jomo Kwame Sundram, yang sebelum ini memaklumkan laporan berkenaan perlu kekal diklasifikasikan sulit, kini mengubah fikirannya.

"Saya setuju untuk (laporan CEP) diterbitkan. Keprihatinan awal saya kerana terdapat hal-hal undang-undang dan diplomatik yang sensitif dan sekarang sudah tidak ada lagi," katanya petik laporan The Star.

Pada Ogos 2018, Jomo berkata laporan itu mengandungi hal kerahsiaan rasmi yang mungkin sensitif.

"Perlu diingat, terdapat beberapa perkara yang sangat sensitif, daripada segi kerahsiaan rasmi serta hal-hal lain yang mungkin sensitif melibatkan tingkah laku pasaran, hubungan diplomasi antarabangsa atau prosedur undang-undang.

"Sebagai seseorang yang kritikal terhadap salah guna kerahsiaan pada masa lalu, saya juga harus mengakui bahawa terdapat perkara-perkara sensitif yang sah dan ketelusan yang sepenuhnya mungkin tidak selalu menjadi hal kepentingan awam," katanya.

Tiada ulasan: