Halaman

Ahad, 31 Mac 2019

Ekstremisme musuh Malaysia Baru



   
ULASAN | Apabila pertukaran rejim berlaku selepas PRU ke-14, rakyat berada dalam dalam keadaan suka ria meraikan pembaharuan negara dan kasih sayang sesama kita sebagai masyarakat.

Akhirnya, kita berjaya membuang kepimpinan kleptokrat dan Malaysia boleh meluncur deras menuju kegemilangan. Semangat baru ini malah kita gelar sebagai "kelahiran Malaysia Baru”.

Walau bagaimana pun, pada hemat saya, pada 9 Mei ‘Malaysia Baru’ belum pun lahir lagi, ia hanya baru bersenyawa di rahim sebuah struktur demokrasi baru tanah air kita. Namun begitu kita tetap dijunjung serata dunia sebagai obor harapan untuk demokrasi.

'Anak kandungan' hasil perjuangan bersama kita selama separuh abad yang belum lahir ini berada dalam mod survival bergelut dengan berbagai ancaman dari pelbagai sisi.

Banyak pihak yang punya kepentingan sendiri sedang menepis usaha membina dan menyatukan negara. Mereka sedang bekerja keras secara terang-terangan dan diam-diam untuk menghasut supaya suasana menjadi berwaspada, terancam dan berbahaya.

Malah mereka adalah petualang sama yang menyatukan kesatuan besar rakyat Malaysia pada PRU ke-14; bukan sahaja musuh sama yang terpalit dengan korupsi dan kleptokrasi, tetapi juga ancaman yang sama iaitu keganasan, terrorisme dan perkauman yang cuba merampas perjuangan kita untuk identiti Malaysia Baru.

Orang gila dalam kegelapan

Ketika dahulu, elemen-elemen ini mengugut masyarakat melalui salah guna kuasa institusi dan pemerintahan. Namun, mereka akan rugi segalanya jika keamanan terganggu dan kestabilan tergugat.

Tambah lagi, mereka telah disemak dan disederhanakan oleh seteru mereka yang cintakan keamanan dan pejuang kebebasan untuk keharmonian dan perpaduan.

Musuh yang kalah bukanlah musuh yang hilang. Askar yang gencat senjata tidak semestinya adalah angkatan yang termansuh. Ancaman luar kawalan adalah lebih bahaya berbanding ancaman dalam kawalan.

Jika orang gila dalam penglihatan kasar kita, kita boleh lari dan sembunyikan diri, namun orang gila dalam kegelapan adalah orang yang bolehn menyerang kita di mana dan bila-bila masa sahaja.



Ancaman dan elemen-elemen ini masih di luar sana - tewas, namun sedang mengumpul semula kekuatan, menghendap-hendap untuk membunuh Malaysia Baru - cuma sekarang mereka tiada lagi berkehendak untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan.

Malah sebaliknya: ketidakstabilan, syak wasangka dan konflik adalah alat sempurna untuk mereka menggandakan diri dan galak meradikalkan akar umbi, organisasi, seruan dan matlamat permainan mereka.

Kita kini menyaksikan hampir setiap minggu, aksi-aksi ekstrem ganas yang secara strategiknya diaturkan untuk menghasut tekanan dan rasa cemas.

Perasaan ini kemudiannya diacu kepada isu-isu agama dan kaum untuk memecahbelahkan masyarakat kepada garis kaum dan agama.

Hal ini telah menjadi batu loncatan kepada politik identiti aras lebih tinggi. Kekerasan kepada mahasiswa dan wartawan baru-baru ini misalannya, sedang secara taktikalnya dijelmakan melalui rangka perkauman oleh mereka kepada masyarakat awam.

Menghasut kepada ketidakstabilan

Bahasa yang digunakan oleh pihak yang teratur ini juga menghasut perang dan ketaksuban - di samping secara separa sedar mempropagandakan mentaliti perang antara kaum dan agama.

Anggota masyarakat secara tidak sedar dan secara mudah terpengaruh dengan retorik, lalu menjadi mangsa salah maklumat dan akhirnya membantu menyebarkan naratif ekstrem.

Platform media sosial seperti WhatsApp sememangnya berkuasa dalam mempengaruhi perubahan positif, namun pada masa yang sama juga menyebarkan ucapan kebencian dan tuduhan palsu.



Semua ini dieksploitasi sepenuhnya oleh puak radikal ini. Memanfaatkan pengalaman dan kemahiran media sosial yang diperoleh dan didanai oleh kuasa naungan politik yang lalu, mereka dengan handalnya menggunakan kemahiran yang sama untuk menghasut ketidakstabilan dan kekacauan kepada negara.

Taktik bahaya bermain-main dengan ekstremisme ini bukanlah baru. Rantau kita ini sudah biasa dengan kekacauan politik negara jiran kita selepas Jokowi meraih kuasa.

Kita telah melihat bagaimana parti yang kalah dalam demokrasi sekarang menggambil pendekatan ekstrem untuk menghasut kebencian terhadap kelompok minoriti yang membawa kepada perhimpunan raksasa dan pemenjaraan Ahok.

Ada pengajaran yang boleh diambil di sini. Kita mesti berwaspada terhadap ancaman kepada keselamatan negara. Negara kita ini memerlukan naratif dan cerita baru, yang memerlukan kita sedar dan akui terhadap ancaman nombor satu: mereka yang bermatian untuk merampas kuasa melalui naratif ekstrem dan kebencian untuk memisahkan masyarakat kita kepada konflik kaum dan agama.

Mereka mestilah tidak dibenarkan untuk kembali berkuasa. Mereka mestilah ditahan daripada membunuh kelahiran Malaysia Baru.

Mereka mesti dihalang daripada meradikal dan menakut-nakutkan anak muda daripada memilih keganasan dan ekstremisme. Mereka mesti dihentikan daripada memesong negara kita untuk merealisasikan keutuhan, perpaduan, keadilan dan demokrasi.

Hal ini bukanlah perjuangan kecil, ianya usaha dan kewajipan semua manusia sedunia melawan ekstremisme yang kita mesti mulakan di tanah watan kita di sini; demi memastikan lahirnya Malaysia Baru, dan demi mempertahankan dan mengekalkan keamanan dunia.


* HOWARD LEE CHUAN HOW merupakan ketua Pemuda DAP dan exco Perak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.