Masyarakat Melayu Islam perlu bersegera ke arah penyatuan bagi mengelakkan bangsa ini menjadi orang yang berdagang di tanah airnya sendiri, ujar Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.Beliau berkata dalam keadaan politik kaum Melayu yang tidak menentu di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), usaha penyatuan kaum Melayu yang giat diusahakan oleh parti UMNO dan PAS amat dituntut bagi melindungi kepentingan ummah dan merealisasikan agenda yang lebih besar.
“Insya-Allah inilah agenda untuk kita menjayakan penyatuan dan perpaduan ummah… ini jelas kelihatan masyarakat sudah bertaut balik kerana dua dominasi parti terbesar orang Melayu sudah boleh bersama… masyarakat dan penyokong akan bersama, itulah kemesraan yang diterjemahkan.
“Orang Melayu semakin menyedari dan merasa gelisah, rasa terancam di tanah air sendiri disebabkan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sering memprovokasi isu Islam, ini menyebabkan orang Islam mula sedar dan buka mata, berfikir untuk kita bersatu,” katanya dalam program bual bicara Diskusi N24 Semenyih bertajuk ‘Mesej Buat Pengundi Semenyih’ yang disiarkan secara langsung pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Mohamad Hasan berkata rakyat kini boleh menilai untuk mengutamakan perkara yang lebih penting iaitu agenda penyatuan demi menyelamatkan agama dan bangsa daripada terus dihina dan dikeji di tanah air sendiri.
“Ada masjid-masjid dan orang kampung dulu berpecah-belah dek kerana kedua parti Melayu ini tidak dapat duduk bersama, tetapi setelah berusaha dan bersama-sama berunding… kemana kita nak bawa orang Melayu, apa masa depan orang Melayu di tanah air sendiri? Agama kita makin terancam, dihina… diejek orang… disitulah bibit dan buah untuk menyusun kerjasama dua parti terbesar di tanah air.
“Saya yakin orang sudah boleh menilai, tak guna kita membawa budaya memaki hamun orang, menuding jari kepada orang, keutamaan adalah orang Melayu mesti bersatu, itulah agenda utama, kalau tidak menggunakan formula penyatuan ummah kita akan hancur.
“Inilah masa terbaik agenda penyatuan ummah kerana jika dibiarkan orang Melayu akan terhakis, terpinggir dan berpecah belah kepada enam-tujuh kumpulan. Adakah kita tidak boleh berfikir?,” soal beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.