“SAYA
mohon maaf kepada semua atas perkongsian mengenai penderitaan
kanak-kanak yang memerlukan sumbangan orang ramai kerana ia ternyata
palsu dan saya tertipu,” kata Pengerusi Persatuan Kebajikan Kanser
Bersatu Malaysia, Nor Azmi Jalaludin.
Nor
Azmi berkata, perkongsian di laman rasmi Facebook (FB) persatuannya itu
adalah atas niat baik mahu membantu dan simpati terhadap seorang
pesakit kanser darah tahap tiga.
“Saya
malu kerana tertipu namun saya perlu jelaskan perkara ini supaya orang
ramai juga tidak tertipu,” katanya ketika dihubungi hari ini
Perkongsiannya
semalam adalah bagi memohon sumbangan orang ramai untuk membeli mesin
bantuan oksigen kanak-kanak perempuan, Zulaikha Mohd, 3, yang kemudian
tular di laman sosial selepas dikongsi ramai termasuk artis popular
Datuk Aaron Aziz.
Status itu antara
lain mendakwa anak yatim itu yang kematian bapanya tahun lalu dan
tinggal di Pulau Pangkor, bergantung hidup pada mesin oksigen yang
disewa daripada hospital serta memerlukan bantuan mesin baru kerana
mesin lama didakwa rosak.
Nor Azmi
berkata, cerita yang dikongsi itu bagaimanapun tidak benar dan perkara
itu dimaklumkan rakannya pagi tadi yang kemudian meminta dia membuat
laporan polis.
Katanya, dia menerima
panggilan telefon daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri
sebagai Puan Julia berusia 42 tahun yang mendakwa memerlukan bantuan
untuk anaknya, Zulaikha pada Jumaat lalu.
“Wanita
itu menghubungi saya menggunakan telefon awam yang mendakwa berasal
dari Terengganu dan kini menumpang rumah adik iparnya di Pulau Pangkor.
“Dia
mendakwa tidak mempunyai telefon dan mahu berjumpa untuk bantuan
anaknya yang mempunyai penyakit kanser darah membuatkan saya berjumpanya
di hadapan Hospital Seri Manjung (HSM) pada hari sama sebelum solat
Jumaat,” katanya.
Nor Azmi berkata,
wanita itu bagaimanapun tidak membawa bersama anaknya dan menangis
ketika menceritakan penderitaan anak yang kononnya memerlukan mesin
pernafasan selain turut menunjukkan surat mati suaminya yang didakwa
akibat kemalangan.
“Saya kemudian
diberikan nombor akaun atas nama Mohd Zakuan yang didakwa adik ipar
wanita itu atas alasan dia tidak mempunyai akaun bank.
“Malangnya
semua itu adalah tidak benar dan gambar kanak-kanak itu juga diambil
daripada Internet membabitkan pesakit kanser luar negara yang sudah
meninggal dunia,” katanya.
Menurutnya,
sebagai bekas pesakit kanser tulang, dia memahami kesukaran hidup mereka
yang memerlukan dan sebab itu dia mahu membantu pesakit kanser terutama
mereka yang serba kekurangan melalui persatuannya yang sudah ditubuhkan
sejak tiga tahun lalu.
Sementara itu,
pelakon Aaron Aziz melalui Instagramnya berkongsi berita mengenai
kanak-kanak itu semalam, yang kemudian turut dikongsi pelakon Nora
Danish.
Aaron bagaimanapun sudah
memadam status berkenaan serta membuat laporan polis berhubung perkara
itu hari ini dan memuat naik rakaman video mengatakan kecewa tertipu
mengenai perkara itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.