Halaman

Sabtu, 13 Julai 2019

Md Ali bebas tuntut keadilan - KPN


Mohd Azam Shah Yaacob
 
 

BEKAS pegawai polis, Md Ali Amir Batcha yang mendakwa menjadi mangsa fitnah kerana dituduh mengetuai satu rompakan pada 1995 mempunyai hak untuk menuntut keadilan berlandaskan Perlembagaan di negara ini.

Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, menerusi pertemuan dengan individu itu semalam, polis sudah menasihatkannya untuk mengemukakan rayuan terhadap kes penahanannya itu.

Bagaimanapun Abdul Hamid berkata, beliau tidak membuat sebarang janji kepada Md Ali untuk membawa kesnya itu bagi dirujuk kepada Peguam Negara.

“Dalam perjumpaan diadakan semalam, beliau (Md Ali) menyatakan menjadi mangsa fitnah dan juga ketidakadilan sistem perundangan apabila disekat daripada membuat rayuan terhadap kes penahanan beliau.

“Susulan itu, polis menasihati beliau untuk mengemukakan rayuan kerana itu adalah haknya di sisi perlembagaan untuk menuntut keadilan berlandaskan prinsip keadilan.

“Namun, saya tidak sesekali membuat sebarang janji untuk mengangkat perkara ini kepada pihak Peguam Negara sebagaimana dakwaan beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, bekas pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) menyatakan bahawa KPN berjanji untuk mengemukakan kesnya itu kepada peguam negara selepas mengadakan pertemuan hampir satu jam di Bukit Aman.

Katanya, dalam pertemuan bersama KPN, beliau berkongsimengenai kesnya yang ditahan secara salah di Penjara Simpang Renggam, Johor tanpa perbicaraan di bawah Ordinan Darurat (EO) selama tiga tahun pada 1990-an atas tuduhan mengetuai beberapa siri rompakan.

Beliau mendakwa dipecat secara tidak sah dalam pasukan polis ketika ditahan di Simpang Renggam dan menuntut pampasan lebih RM316,000 kerana disalah tahan dan selain manfaat pencen.

Susulan itu, Md Ali mahu polis membuka semula siasatan ke atas dakwaan beliau mendalangi beberapa rompakan kerana mendakwa dirinya ialah mangsa konspirasi.

Beliau sudah membuat tiga laporan polis berhubung perkara itu dan menyerahkan salinan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara serta Bukit Aman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.