HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 November 2019

Kerajaan digesa tak rayu keputusan mahkamah benarkan ikat jamin didengar

MALAYSIAKINI
 
 

Lawyers for Liberty (LFL) menggesa Pejabat Peguam Negara (AGC) dan kerajaan persekutuan agar menghormati keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan pendengaran permohonan ikat jamin Adun Gadek yang berdepan pertuduhan berkaitan keganasan, G Saminathan, dan tidak membuat rayuan.

Pengarah LFL Melissa Sasidaran berkata keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali itu menunjukkan pengasingan kuasa antara kehakiman, eksekutif dan legislatif yang terus ditegakkan di negara ini.

“Keputusan ini bukan sahaja bermaksud kuasa kehakiman untuk membenarkan ikat jamin tidak boleh disekat atau dihalang, tetapi juga menegakkan doktrin pengasingan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman yang merupakan unsur penting dalam struktur asas Perlembagaan Persekutuan.

“[...] Dengan itu kami meminta Peguam Negara (AG) Tommy Thomas dan kerajaan menerima keputusan itu dan tidak membuat rayuan,” kata Melissa dalam kenyataan hari ini.

NGO hak asasi manusia Suaram turut menyambut baik keputusan tersebut, dan menyifatkannya dapat membantu menyanggah undang-undang yang tidak membenarkan ikat jamin.

Kata pengarah eksekutif Suaram Sevan Doraisamy, keputusan itu menyokong seruan agar undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan untuk dimansuhkan.

“Keputusan itu menggemakan sokongan bertahun-tahun lamanya oleh kumpulan masyarakat sivil dan peguam yang konsisten menentang penahanan tanpa bicara sejak zaman Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).

“Keputusan itu menyangkal hujah (yang mewajarkan) penahanan tanpa bicara dan menandakan titik peralihan buat Malaysia, untuk bergerak daripada paradigma lama berkaitan penahanan tanpa bicara kepada sistem keadilan jenayah yang menghormati kebebasan asasi,” katanya lagi.

Dalam penghakimannya, Nazlan memutuskan Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Akta Langkah Khas) 2012 (Sosma), yang melarang mahkamah daripada membenarkan ikat jamin dalam kes berkaitan keselamatan, melanggar doktrin pemisahan kuasa antara badan kehakiman, badan perundangan dan eksekutif.

Anggota Parlimen DAP Saminathan memohon pendengaran ikat jamin untuk penahanannya di bawah Sosma berhubung siasatan terhadap dakwaan memiliki kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Nazlan berkata peruntukan undang-undang itu melanggar perlembagaan kerana menafikan hak mahkamah untuk memberi mahupun menolak ikat jamin.

Bagaimanapun beliau memberi peringatan bahawa keputusan itu tidak bermakna Saminathan mesti dibenarkan ikat jamin, tetapi hanya bermakna kuasa kehakiman untuk membenarkan ikat jamin tidak boleh disekat.

Susulan keputusan itu, timbalan pendakwa raya Aslinda Ahad memaklumkan pihak pendakwaan akan berbincang sama ada untuk membuat rayuan atau tidak.

Saminathan merupakan antara 12 individu yang dihadapkan ke mahkamah pada Oktober lalu atas dakwaan memiliki barangan LTTE dan menyokong LTTE.


Tiada ulasan: