HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 November 2019

Tun M umum persaraan Mei 2020, letak jawatan Mei 2021?

Manzaidi Mohd Amin
Datuk Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad dijangka mengumumkan persaraannya pada Mei 2020 dan setahun kemudian, Mei 2021 akan menyerahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, peralihan kuasa itu akan dilakukan Dr. Mahathir sebagaimana beliau mengumumkan peletakan jawatan Perdana Menteri keempat pada 2002 dan menyerahkan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri kelima pada Oktober 2003.

Katanya, Dr. Mahathir hanya akan memegang jawatan perdana menteri selama tiga tahun dari Mei 2018 hingga Mei 2021 dan selepas itu beliau tidak boleh berdalih dan tiada pilihan lagi, selain menamakan Anwar sebagai pengganti.

Dr. Mahathir memilih Anwar kerana tidak ada calon atau tokoh lain dari kalangan komponen Pakatan Harapan (PH), tambahan pula Presiden PKR itu mempunyai jumlah Ahli Parlimen yang cukup untuk membolehkan beliau menduduki kerusi nombor satu kerajaan.

“Dr. Mahathir tidak akan mengambil risiko untuk tidak memberi laluan kepada Anwar.

“Kalau ada usaha mengumpul Ahli Parlimen PH, menarik Ahli Parlimen UMNO termasuk sandiwara politik Pas yang mempunyai 18 kerusi, tidak mencukupi untuk menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri kelapan,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali yang menggesa Dr. Mahathir perlu menghormati perjanjian peralihan kuasa selama dua tahun yang dijangka berakhir Mei tahun depan dan diminta jangan lagi berdolak-dalik.

Dalam nada keras, Syed Husin dianggap antara paling lantang mengingatkan Dr. Mahathir supaya melaksanakan proses peralihan kuasa itu dengan cara berhemah.

Kata pemimpin veteran PKR itu, adalah lebih baik untuk Dr. Mahathir berundur secara mulia daripada mengelakkan perkara lampau berulang.

Menurut Dr. Ibrahim Ali, Dr. Mahathir memilih Mei 2020 untuk membuat pengumuman persaraannya sebagai genap dua tahun menjadi perdana menteri kepada kerajaan PH.

Jika tidak, katanya, akan wujud keadaan yang boleh menimbulkan pelbagai spekulasi dan memberi kesan tidak baik kepada rakyat serta negara.

“Saya pasti Dr. Mahathir tidak mahu membiarkan keadaan rakyat dan negara bergolak, sekali gus membuktikan beliau berpegang pada janji.

“Dalam tempoh satu tahun dari Mei 2020 hingga Mei 2021 sudah tentu Dr. Mahathir akan lakukan sesuatu yang beliau sahaja tahu untuk “kunci” apa yang patut dan selesai apa yang patut diselesaikan serta pasti ada perkembangan tertentu sebagai persiapan persaraannya menjelang Mei 2021.

“Antara yang akan berlaku ialah rombakan kecil kabinet selepas persidangan APEC pada November 2020. Ini sudah pun dimaklum dan rombakan mungkin dilakukan pada Disember 2020 atau Januari 2021,” katanya.

Kata Dr. Ibrahim, apabila rombakan kecil kabinet dibuat, beliau menjangkakan Anwar akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri mengambil alih dari Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

“Ini bagi melincinkan peralihan jawatan perdana menteri pada Mei 2021, dan Anwar mempunyai lima bulan masa bersama Dr. Mahathir bagi menghayati tugas yang akan dipikulnya sebagai perdana menteri.

“Dalam tempoh itu juga, Anwar akan dan menerima “wasiat-wasiat” tertentu dari Dr. Mahathir, selain akan diperhatikan.

“Lain-lain perkara juga akan berlaku, tetapi saya tidak mahu membuat spekulasi, sekadar apakah akan dilakukan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinannya dan kesudahan UMNO yang pimpinan utamanya sedang bertarung di mahkamah,” katanya.

Beliau menjelaskan, semua pendapatnya itu adalah andaian semata-mata yang dibuat mengikut logik akalnya.

Mengenai Putra, kata beliau, parti itu akan mendapat sokongan dan penyertaan ahli serta penubuhan bahagian, sayap dan cawangan terus rancak.

Putra, ujar beliau, akan menjadi parti pilihan bagi orang Melayu dan kaum Bumiputera bagi yang tidak mahu kepada parti politik sedia ada atas sebab tertentu. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: