
Lebih menyedihkan apabila tidak semua 33 keluarga terlibat diberikan penempatan semula iaitu melalui Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana pelbagai prosedur dan syarat terpaksa dipatuhi sama seperti pemohon biasa.
“Tapi sekarang kita diberi dua minggu untuk dapat PPR (Program Perumahan Rakyat) kerajaan janji, dia bagi dua minggu sebab kerajaan janji nak bagi kita PPR dulu, tapi dia beri kita beberapa syarat.
“Dia kata apa jadi pun, dapat PPR atau tidak, lepas dua minggu dia akan datang pecahkan (rumah Segambut Permai). Hari ini (sepatutnya perobohan).
“Tapi minggu pertama, tiada apa-apa, minggu kedua, Selasa lepas, hanya separuh dapat (PPR), Jumaat lagi 6 orang dapat, tinggal Sabtu, Ahad dan masuk hari ini Isnin, mana sempat kami nak pindah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Segambut Permai, hari ini.

“Prosesnya panjang, dapat surat tawaran, pergi hantar ke DBKL, DBKL akan hantar satu lagi surat kena isi pendapatan, bawa kena buat surat sumpah, TNB (Tenaga Nasional Berhad) kita kena daftar balik dan ambil masa 3-4 hari, nak tukar macam-macam lagi.
“Mana sempat (pindah), kalau roboh hari ini, kita tak tahu nak duduk mana, kita memang tak ada rumah,” katanya.

Seorang penduduk dilihat mencari barangan yang terdapat pada
rumah yang telah dirobohkan ketika tinjauan mengenai rumah
di Kampung Segambut Permai yang akan dirobohkan oleh DBKL
selepas tamat tempoh mengosongkan rumah selama dua minggu
di Kampung Segambut Permai, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA
HASHIM
Tidak terhenti setakat itu, mereka yang layak juga diberikan unit rumah awam itu didakwa dalam keadaan uzur, hingga memaksa penghuni baharu mengecat semula dinding manakala sistem salirannya pula tersumbat, tidak kurang pula bocor.
“Siapa yang dapat rumah (DBKL) pun belum uruskan lagi. Rumah PPR pula dalam keadaan sangat teruk, kena cat balik, dinding retak, saliran tersumbat,” katanya.
Walaupun mereka dijanjikan bayaran pampasan sehingga RM7,000 bagi setiap rumah yang dibina sejak lebih 60 tahun lalu, sehingga kini hampir keseluruhan penduduk tidak menerima bayaran terbabit.
“Sebelum PRU14 lalu, hanya dua atau tiga orang penduduk sahaja sudah ambil duit pampasan daripada pemilik tanah. Lebih kurang 30 penduduk belum menerima wang pampasan.
“Bayaran pampasan pula dibuat secara dua kali, sebahagian dibayar jika bersetuju perobohan itu dan bayaran kedua hanya dibayar setelah penduduk bersetuju untuk memecahkan sendiri rumah mereka sebelum membuat tuntutan,” katanya.
Tambahnya, lebih mengecewakan apabila pihak DBKL yang membuat bancian penduduk dua minggu lalu didakwa tidak berlaku adil apabila pemberian rumah transit yang ditawarkan tidak mengikut jumlah keluarga.
“Ada penduduk di sini yang mempunyai hingga enam keluarga dalam satu rumah, bila bancian dibuat, walaupun penduduk di sini beri surat beranak anak-anak dan ahli keluarga, namun mereka hanya meluluskan satu hingga dua unit PPR sahaja.
“Mana mungkin satu unit PPR boleh muatkan sampai 22 ahli keluarga sedangkan rumah transit itu hanya mempunyai satu dan tiga bilik sahaja. Bila kita desak baru DBKL bari dua unit PPR,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.