Halaman

Rabu, 8 Januari 2020

Dong Zong ekstrem pertahan pendidikan Cina walau diugut

Ustaz Mohd Azizee Hasan

 

Ke tepi silibus sejarah KPM, tolak sistem pembelajaran aliran perdana

HARI ini saya menjejaki bangunan Dong Zong bersama beberapa pimpinan tertinggi iGuru untuk menyerahkan memorandum bantahan terhadap Dong Zong berhubung polemik tulisan jawi.

iGuru diwakili saya bersama Ustaz Agus Lokman, Timbalan Presiden dan Dr. Sharifah Hanum Syed Sahuri. Manakala, pihak Dong Zong diwakili Encik Ng Chai Heng selaku Setiausaha Agung dan Encik Yap Heng Lung, Eksekutif Projek Silang Etnik dan Budaya.

Meskipun di permulaan diskusi agak tenang tetapi, ia menjadi semakin panas ketika membahaskan isu sekolah satu aliran dan polemik tulisan jawi. Pihak Dong Zong tegar menolak pembelajaran jawi di tahun 4, SJKC dan SJKT dan berkeras supaya hal keputusan pembelajaran tulisan jawi di serahkan kepada Lembaga Pengelola Sekolah bukan pihak PIBG , ibu bapa dan murid- murid.

Pihak iGuru telah menjelaskan pendirian tegas membantah tindakan Dong Zong yang cuba mencabar kedudukan bahasa Melayu dan menyeru untuk menghormati apa yang termaktub di dalam Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan.

Kesimpulan yang dapat difahami ialah ;

1. Dong Zong melihat naratif pendidikan melalui kacamata perspektif “kecinaan” dan menganggap kewujudan sekolah-sekolah Cina sudah lama bertapak dan British mengiyakan perkara tersebut.

2. Dong Zong menolak konsep sekolah satu aliran dan memperjuangkan konsep multi language. Ini bererti pihak Dong Zong akan terus berjuang untuk pengekalan sekolah vernakular. Sehingga kini terdapat 80 buah sekolah SMPC.

3. Perjuangan Dong Zong merentasi parti dan meletakkan identiti, bahasa dan budaya mesti dipelihara melalui pendidikan. Justeru badan yang paling berkuasa ialah Lembaga Pengelola Sekolah (LPS). Sebarang keputusan pihak KPM tanpa mengambil kira perbincangan LPS akan membawa konflik antara dua pihak.

4. Dong Zong menganggap pembelajaran jawi adalah satu bentuk islamisasi. Ia turut disokong pihak kaum India yang mendakwa ramai anak india memeluk islam disebabkan belajar tulisan jawi walaupun ini hanya tuduhan tidak berasas.

5. Dong Zong konsisten menzahirkan sikap rasis dalam memperjuangkan pendidikan Cina. Oleh itu, kakitangan dan staf adalah mereka di ambil dari mereka yang boleh bercakap bahasa Cina.

6. Dong Zong tidak menggunakan silibus sejarah yang ditetapkan pihak KPM. Mereka menggubal kurikulum sejarah menurut perspektif sendiri dan memasukkan lebih banyak kandungan berkaitan sejarah dunia berbanding sejarah Malaysia. Mereka melihat penulisan sejarah negara dimanipulasi orang politik. Hakikatnya, mereka gagal memahami sejarah negara dengan tepat dan betul.

7. Dong Zong kekal ekstrim dan bersifat cauvinis dalam mempertahankan pendidikan kaum Cina meskipun berdepan ugutan mana-mana pihak termasuk kerajaan yang memerintah. Bagi mereka kepentingan kaum itu adalah mempertahankan identiti dan bahasa mereka. Oleh itu mereka akan all out untuk hal tersebut dari sudut kewangan dan fasiliti.

8. Dong Zong menganggap sistem pendidikan sedia ada hanya mementingkan satu kelompok sahaja iaitu mereka yang belajar di SK manakala murid-murid di SJKC dan SJKT dipinggirkan atau berlaku diskriminasi. Sebenarnya, pihak Dong Zong menolak untuk menerima sistem pendidikan aliran perdana.

Semoga rumusan ini adalah permulaan mengkaji lebih mendalam sistem pendidikan kelolaan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia.

iGuru akan terus memberanikan diri, berdepan dengan pihak Dong Zong secara lebih berdepan dalam mempertahankan kepentingan nasional.

*Ustaz Mohd Azizee Hasan, Pengerusi Ikatan Guru Muslim Malaysia (I-Guru)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.