
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, mengikut Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan bukan satu jawatan yang berkuasa besar.
“Oleh itu, baik Datuk Mohd Rashid Hasnon ataupun Nga Kor Ming, tidak patut membelakangkan ketua mereka, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof.
“Sebaliknya, itulah yang berlaku hari ini apabila Rashid secara terbuka mengeluarkan kenyataan menolak usul undi percaya terhadap Mahathir yang ingin dibawa oleh Pas.
“Alasan digunakan Rashid, mengikut laporan akhbar Berita Harian ialah “usul yang ingin dibawa Pas itu tidak menyentuh kepentingan umum dan tidak perlu disegerakan”,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Perkara 18 (2) menyebut “Tuan Yang Dipertua hendaklah menolak permintaan (untuk mengemukakan usul) itu kecuali jika dia puas hati iaitu perkara itu ialah perkara tertentu, berkehendak disegerakan dan berkenaan kepentingan orang ramai”.
Katanya, ini langsung tidak disebut dalam Perkara 18 (2) mengenai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, tetapi yang disebut hanyalah mengenai Yang Dipertua Dewan Rakyat, menunjukkan ini adalah kuasa mutlak Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Jelas beliau lagi, Perkara 18 (2) juga menyebut “Seseorang ahli hendaklah mengeluarkan pemberitahu bersurat yang tidak melebihi tiga ratus perkataan kepada Tuan Yang Dipertua berkenaan dengan perkara yang hendak dirundingkannya itu, iaitu sekurang-kurangnya dua puluh empat jam tidak termasuk hari kelepasan sebelum persidangan dimulakan”.
“Sekarang ini pemberitahu bersurat yang dimaksudkan oleh Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat ini belum pun diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, bagaimana Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sudah boleh menolaknya?
“Inilah bahananya bila Timbalan-Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah dipilih dari Ahli-ahli Parlimen kerana sebagai Ahli-ahli Parlimen yang mewakili parti tertentu, mereka pastilah memiliki kepentingan tertentu dan bersifat partisan dalam isu-isu tertentu.
“Keputusan hanya boleh dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat setelah pemberitahu bersurat dikemukakan bersekali dengan penjelasan bertulis,” ujar beliau.
Menurut Mohd Khairuddin, dalam membuat keputusan itu Yang Dipertua Dewan Rakyat sewajarnya mengambil kira duluan dalam usul-usul sama yang pernah dibuat pada tahun 1976, 1997 dan 2003. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.