
KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng telah tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jam 1 petang tadi.
Bekas Menteri Kewangan itu hadir untuk siasatan berhubung projek terowong bawah tanah, menurut sumber-sumber SPRM.
Beliau datang menaiki kenderaan berwarna putih, disaring suhu badan sebelum memasuki bangunan tersebut.
Guan Eng dipanggil selepas beberapa pemimpin dan bekas pemimpin negeri Pulau Pinang dipanggil oleh SPRM untuk siasatan kes projek tersebut.
Sehingga kini, SPRM telah menahan seorang bekas pegawai Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang.
Manakala tiga syarikat diserbu kerana dipercayai ada kaitan dengan projek berkenaan.
Minggu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, siasatan ke atas projek bernilai RM6.3 bilion itu tertumpu kepada pengubahan wang haram dan menjangkakan siasatan kes selesai dalam dua hingga tiga minggu.
Kes itu disiasat oleh SPRM sejak tahun 2017.
Projek terowong bawah laut dengan tiga jalan utama bernilai RM6.3 bilion diperuntukkan oleh kerajaan Pulau Pinang untuk mengurangkan kesesakan di jambatan pertama.
Terowong bawah laut sepanjang 7.2 kilometer itu akan menghubungkan Jalan Pangkor Pulau Tikus dan Bagan Ajam di Butterworth.
Projek itu dijangka dimulakan pada tahun 2023. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.