
FAUZI
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen (Padang Rengas-BN), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mencadangkan Akta Pilihan Raya 1958 (Akta 19) dipinda bagi menyelesaikan masalah lompat parti dalam kalangan wakil rakyat.
Beliau mengemukakan cadangan itu dengan meminta agar kerusi yang dipertandingkan kekal milik parti dan bukannya wakil rakyat.
Katanya, beliau percaya langkah itu mampu membanteras perbuatan sedemikian yang sememangnya menimbulkan banyak masalah terutama kepada parti yang ditinggalkan oleh wakil rakyat terbabit.
“Bila kita ada pilihan raya, sebagai contoh Padang Rengas, Barisan Nasional (BN) menang tetapi saya tak bertanding sebagai individu.
“Bila BN menang, Ahli Parlimen kami Padang Rengas adalah Nazri Aziz. Kalau Nazri Aziz satu hari nanti dia dilantik jadi menteri, kalau ada perbezaan pendapat dengan Perdana Menteri, saya tak boleh terima, saya berhenti seoranglah.
“Saya tak bawa kerusi Padang Rengas dengan saya,” katanya yang menjadikan dirinya sebagai contoh bagi memberi gambaran yang lebih jelas tentang cadangan pindaan itu.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Mohamed Nazri, sekiranya beliau keluar dari BN, parti akan melantik ahli yang lain untuk mengisi kekosongan kerusi Parlimen tersebut.
Beliau percaya, langkah itu bukan sahaja boleh menghalang keruntuhan sesebuah parti atau kerajaan, malah ia boleh membanteras amalan rasuah.
Katanya lagi, sesetengah Ahli Parlimen cuba mengambil kesempatan untuk ‘menuai’ apabila sesebuah kerajaan jatuh dengan ‘menjual’ kerusi Parlimen yang disandangnya.
“Kalau di sana ada 111, di sana ada 109, mungkin ada dua atau tiga Ahli Parlimen cari duit, terbuka untuk dirasuahkan.
“Jadi kalau kita bertanding lambang, kita tak boleh jual diri kita. Nak jual lambang? Presiden ada di depan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.