Oleh Farah Marshita Abdul Patah

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dihukum penjara 12 bulan dan denda RM2 juta oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas didapati bersalah menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati Tengku Adnan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan terhadap kes pendakwaan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang juga Ahli Parlimen Putrajaya menjalani tambahan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Bagaimanapun, peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan memohon penangguhan hukuman penjara sementara menunggu rayuan.
Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan hukuman penjara dan denda terhadap tertuduh.
Terdahulu, Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan yang baru saja menyambut ulang tahunnya yang ke-70, semalam, dilihat hanya tunduk dan berdiam diri sepanjang keputusan itu dibacakan terhadapnya.
Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Tan Sri Chai Kin Kong yang juga Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Keputusan hari ini menjadi kes berprofil tinggi kedua membabitkan pemimpin UMNO yang didapati bersalah atas tuduhan jenayah yang dibawa ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selepas Barisan Nasional (BN) tumbang pada Mei 2018.
Pada 28 Julai, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendapati bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Terdahulu, ketika penghakimannya, Mohamed Zaini berkata adalah salah untuk berfikir bahawa seorang individu yang kaya tidak akan melakukan kesalahan demi mendapatkan kepentingan kewangan.
Mohamed Zaini berkata mahkamah tidak boleh menerima alasan bahawa dana itu digunakan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak, memandangkan kawasan itu bukan di bawah bidang kuasa Tengku Adnan sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan.
Katanya, mahkamah juga tidak dapat menerima keterangan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah dan bekas pengarah jentera PRK Sungai Besar, Datuk Rizalman Mokhtar berhubung kertas bajet yang dibentangkan.
"Mahkamah berpendapat keterangan mereka direka selepas kejadian itu dalam usaha menyokong keterangan tertuduh.
"Mahkamah juga berpendapat tiada bukti menunjukkan tertuduh mengeluarkan wang daripada akaun Tadmansori untuk membayar perbelanjaan dua PRK itu," katanya.
Mahkamah berpendapat tertuduh menggunakan Tadmansori sebagai topeng untuk menerima wang hasil daripada perbuatannya.
"Sehubungan itu, mahkamah berpendapat pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan," katanya membacakan keputusan penghakiman setebal 80 muka surat.
Mahkamah dalam penghakimannya turut menolak keterangan Tengku Adnan bahawa pertuduhan terhadapnya adalah tidak relevan dan adalah helah politik oleh musuh politik UMNO.
Katanya, Tengku Adnan bukan satu-satunya ahli politik yang didakwa atas tuduhan rasuah dan menyatakan ia adalah konspirasi politik.
Tambahnya, tiada sentimen dalam keputusan mahkamah dan ia dibuat semata-mata berdasarkan undang-undang dan bukti yang dikemukakan ketika perbicaraan.
"Badan kehakiman tidak mengambil bahagian dalam hal politik dan kebebasannya (kehakiman) adalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Sekiranya terdapat kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana pihak atau individu, maka, adalah menjadi tugas mahkamah untuk membetulkan dan menghukum pesalah," katanya.
Pada prosiding itu, Tengku Adnan dalam rayuannya menerusi Hock Chuan, memohon mahkamah menggunakan budi bicaranya dalam menjatuhkan hukuman dengan mengambil kira ia adalah kesalahan pertama.
Hock Chuan, berkata keadaan kesihatan tertuduh adalah tidak baik selain perlu menerima rawatan kerap untuk penyakit jantung, paru-paru dan darah tinggi yang dialaminya
"Selain itu, tertuduh juga adalah Ahli Parlimen Putrajaya sejak 2004 dan berdepan kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen sekiranya didenda lebih RM2,000.
"Tertuduh banyak menyumbang kepada negara dan rakyat khususnya, di Wilayah Persekutuan, sehubungan itu, pembelaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda kurang RM2,000 sahaja serta tidak dikenakan penjara.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim, membantah rayuan itu dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan bagi menghalang orang lain melakukan kesalahan sama.
"Jumlah dalam pertuduhan ini adalah RM2 juta dan mengikut keterangan tertuduh sebelum ini, jumlah itu hanyalah 'duit poket' baginya.
"Denda kurang RM2,000 adalah tidak sesuai langsung untuk kesalahan mengikut Seksyen Seksyen 165 Kanun Keseksaan," katanya
Julia juga berhujah bahawa setiap Ahli Parlimen datang dan pergi.
"Setiap kali pilihan raya pasti akan berlaku perubahan, jika tertuduh tidak menjadi Ahli Parlimen, maka, orang lain berpeluang untuk bertanding dan berkhidmat kepada masyarakat," katanya.
Ketika ditanya Mohamed Zaini, berapa jumlah denda yang dicadangkan pendakwaan, Julia menjawab:
"Tidak kurang daripada jumlah yang dipertuduhkan."
Kes perbicaraan terhadap Tengku Adnan bermula pada 2 Julai tahun lalu dengan pihak pendakwaan memanggil 23 saksi untuk memberi keterangan.
Saksi pendakwaan yang dipanggil untuk memberi keterangan termasuk dua bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur iaitu Tan Sri Ahmad Phesal Talib dan Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz serta Kin Kong.
Pada 14 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Tengku Adnan membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie dalam kes tertuduh.
Tengku Adnan selaku saksi pembelaan pertama memberi keterangan bersumpah dari tempat saksi selama dua hari iaitu pada 17 Januari dan 5 Mac lalu.
Saksi pembelaan yang dipanggil memberi keterangan ialah bekas Setiausaha Politik Tengku Adnan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan; Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah dan bekas pengarah jentera PRK Sungai Besar, Datuk Rizalman Mokhtar.
Pada 30 Jun lalu, pembelaan menutup kesnya dalam prosiding yang berlangsung selama empat hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.