HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Julai 2021

Jangan jadikan Dewan Rakyat medan perbalahan – Gerakan

166B8689-D21F-46BA-B7B4-31016ACC6491-e1625043802918
Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan mengingatkan semua ahli-ahli Parlimen memanfaatkan sidang Parlimen Khas untuk membantu rakyat dan bukan dijadikan medan perbalahan.

Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, pihak pembangkang tidak membangkitkan isu yang dihadapi rakyat di kawasan mereka tetapi lebih minat menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat semalam.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mempercepatkan persidangan Parlimen seperti yang diminta oleh pihak pembangkang supaya kedua-dua pihak boleh berbincang dengan mendalam dan terperinci mengenai langkah pencegahan penularan Covid-19.

“Bagaimanapun, semua ahli Parlimen seharusnya memberi cadangan atau pandangan yang konstruktif, bukan bertelingkah dalam persidangan itu.

“Tindakan mereka itu menunjukkan pihak pembangkang lebih berminat dalam perjuangan politik mereka, bukan kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Tong Keong, semua ahli Parlimen perlu membangkitkan masalah yang dihadapi rakyat yang ketika ini hidup dalam kesempitan susulan daripada penularan Covid-19.

“Semua ahli Parlimen harus merasa bersalah dan insaf atas tindakan mereka semalam di dalam Dewan Rakyat yang telah membuang masa tanpa membincangkan perkara yang berhubung kait secara langsung dengan kepentingan rakyat.

“Saya berharap, pemimpin kita bukan pemimpin yang hanya tahu bertelingkah dengan mana-mana pihak yang mengutarakan kenyataan dan pandangan mereka. Mereka harus saling hormat-menghormati, bukan bertengkar dan memaki-maki antara satu sama lain,” tegas Tong Keong. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: