HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Julai 2021

Kenyataan Ismail Sabri, PN ada majoriti adalah tepat – Penganalisis

Muhammad Azizul Osman
MGF26072021_SIDANG-KHAS-PARLIMEN_11-1
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sememangnya mempunyai majoriti seperti mana yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sebelum ini mengumumkan mempunyai lebih 110 Ahli Parlimen.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sememangnya mempunyai majoriti seperti mana yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sebelum ini mengumumkan mempunyai lebih 110 Ahli Parlimen.

Menurut Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, PN masih kerajaan yang sah dengan sokongan parti dalam dalam gabungan berkenaan.

“Ia dikukuhkan lagi dengan kenyataan Ismail bahawa 40 Ahli Parlimen UMNO-BN masih menyokong PN manakala PPBM 32, Pas 18 dan GPS 18 serta STAR satu, tiga bebas dan dua lagi dari Sabah, PN masih kerajaan yang sah.

“Rakyat juga saya rasa tidak mahu pertukaran kerajaan pada masa ini dan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu berundur sebagai Perdana Menteri seperti mana yang dimahukan pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Khamis lalu, Ismail Sabri berkata lebih 110 Ahli-ahli Parlimen masih memberi sokongan kepada kerajaan PN.

Ketua Whip Kerajaan itu yang mengesahkan perkara tersebut berharap rakyat bertenang di dalam menghadapi situasi terkini.

MGF11042017_IKSIM02-1
Dr Kamarul Zaman Yusoff

Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, kepentingan negara harus diutamakan dengan tumpuan kerajaan semasa untuk menjalankan Pelan Pemulihan Negara bagi mengurangkan impak negatif akibat pandemik ini.

“Cubaan ahli-ahli Parlimen pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya di Parlimen juga tidak perlu dilayan dan sekadar membuktikan kerakusan mereka dengan agenda merebut kuasa.

“Sayang sekali bila ruang diberi untuk mereka memberikan cadangan bagi membantu memulihkan negara melalui Mesyuarat Khas Parlimen disiakan kerana obsesi mereka untuk menukar kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: