PONTIAN: Barisan Nasional (BN) menghormati keputusan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk tidak lagi menjadi parti komponen.
Namun, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata jika BN menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), GPS pernah menyuarakan hasrat membentuk kerajaan bersama-sama BN tanpa menjadi parti komponen.
Katanya, dalam pertemuannya yang diketuai Timbalan Pengerusi BN, Datuk Sri Mohamad Hasan bersama Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebelum penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, GPS menyatakan pendiriannya hanya mahu Sarawak ditadbir oleh parti dari Sarawak.
"GPS sudah buat keputusan tidak mahu bersama BN. Namun jika kita (BN) menang pada PRU15, GPS akan bersama dengan kerajaan BN, tetapi bukan sebagai komponen. Mereka bersama membentuk kerajaan BN + GPS, itu adalah keputusan mereka.
"Kita menghargai dan menghormati persahabatan ini. Tentunya bila menang PRU15, kita akan jemput GPS untuk mentadbir Malaysia bila tiba waktunya. Mereka kumpulan yang mesra dengan BN.
"Dalam pertemuan itu, GPS menyatakan bahawa tidak memutuskan hubungan dengan BN, jadi tentunya untuk PRU15, GPS itu adalah kawan akrab dalam BN. BN yakin GPS akan menang besar mungkin dua pertiga pada PRN ini, biarpun ini adalah kali pertama tidak bersama BN," katanya selepas Majlis Anugerah Belia Cemerlang Parlimen Pontian, hari ini.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata pimpinan tertinggi UMNO akan melakukan rundingan bersama Kerajaan bagi mendapatkan kepastian tempoh paling sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.