Halaman

Sabtu, 11 Disember 2021

DAP akan sokong pindaan kembalikan status Sabah, Sarawak

MALAYSIA POST

DAP akan sokong pindaan kembalikan status Sabah, Sarawak

DAP akan menyokong Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) serta Perkara 160(2) untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung Malaysia, di Dewan Rakyat minggu hadapan. 

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata semua 42 Ahli Parlimen parti itu akan menyokong pindaan berkenaan yang akan mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan selaras dengan kedudukan ketika pembentukan Malaysia pada 1963 dahulu. 

“Kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan sebagai salah satu daripada tiga wilayah yang membentuk Malaysia telah ‘diturunkan’ menjadi salah satu daripada 14 negeri pada tahun 70 an dengan sokongan Ahli Parlimen parti kerajaan Sarawak sekarang, walaupun dibantah DAP.

“Mengembalikan status Sabah dan Sarawak menurut Perjanjian Malaysia 1963 merupakan salah syarat asas dalam Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara pemimpin PH (Pakatan Harapan) dan Perdana Menteri pada bulan September yang lepas,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Guan Eng juga menjelaskan, usaha Kerajaan PH untuk meminda Perlembagaan bagi mengembalikan status Sabah dan Sawarak pada tahun 2019 gagal. 

“PH tidak dapat memperoleh majoriti dua pertiga yang diperlukan berikutan penolakan Ahli Parlimen Kerajaan Sarawak untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu sama rata dengan Semenanjung Malaysia.

“Walaupun pilihan raya Sarawak sedang dijalankan, dan kejayaan pindaan perlembagaan mungkin akan memberi kelebihan kepada mereka, namun DAP lebih mementingkan hak asasi rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya. 

Beliau berkata, DAP akan memainkan peranan menghormati aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak dengan mengambil tindakan melangkaui politik dan menyokong pindaan ini -Malaysiapost

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.