MALAYSIA POST
MENJAMIN kestabillan, autonomi politik dan mempertahan hak Sarawak antara 34 janji terkandung dalam manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) sempena pilihan raya negeri itu yang dilancarkan hari ini.
Pengerusinya Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata GPS berjanji meningkatkan kemajuan dan kegemilangan rakyat sekiranya diberi mandat sekali lagi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, 18 Disember ini.
“34 Manifesto GPS yang komprehensif itu akan memperjuangkan hak Sarawak, menjamin hak rakyat, menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan masa depan negeri ini.
“GPS telah menyediakan landasan kukuh untuk membangunkan Sarawak ke arah Sarawak Maju Berpendapatan Tinggi menjelang 2030 seterusnya menjadikan Sarawak maju dan rakyatnya menikmati kemakmuran,” katanya ketika berucap melancarkan Manifesto GPS PRN Ke-12, di Kuching malam tadi.
Abang Johari berkata, keupayaan GPS melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk kepentingan rakyat selama ini menjadi penanda aras bahawa parti itu mempunyai jentera pentadbiran mantap serta sistem tadbir urus kewangan yang baik.
“Parti-parti pembangkang hanya mampu mengkritik GPS, mereka tidak mempunyai sebarang rekod pencapaian membangunkan Sarawak.
“Semasa pemerintahan kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan, banyak projek pembangunan di Sarawak dibatalkan dan peruntukan ditarik balik,” katanya.
Menurutnya, GPS turut melaksanakan lebih 100 inisiatif ‘game changer’ untuk merancakkan pembangunan sosio-ekonomi Sarawak yang telah mendatangkan banyak manfaat kepada rakyat Sarawak.
“Sebagai Pengerusi GPS, saya dan pasukan akan terus komited memastikan dasar-dasar yang kita laksanakan dapat memberi manfaat kepada rakyat.
“GPS juga akan memastikan tiada seorang pun rakyat Sarawak tersisih dalam mengecapi nikmat pembangunan selain usaha itu hanya dapat direalisasikan jika GPS terus diberi mandat kali ini,” katanya.-Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.